Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob- Gambar Bernama

ANALISIS

PADA saat-saat rakyat sedang berhadapan dengan pelbagai kenaikan kos hidup manakala ekonomi negara pula ditafsirkan berada dalam keadaan tidak stabil, tindakan terus mendesak atau mahukan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan secepat mungkin boleh dianggap tidak manusiawi.

Adalah memualkan apabila meneliti hujah-hujah dangkal oleh pemimpin tertentu dalam UMNO yang mahukan PRU-15 diadakan segera. Malah penulis difahamkan ada kelompok tertentu dalam parti itu meletakkan sasaran bila PRU-15 harus dilaksanakan.

Hujah mereka ialah jika PRU-15 dilambat-lambatkan ia boleh mendatangkan ‘petaka politik’ kepada parti itu! Soalnya apakah hanya petaka politik mereka sahaja difikirkan?

Bagaimana dengan rakyat yang sedang bergelut untuk meneruskan kehidupan?

Turut dihujahkan oleh mereka ialah negara memerlukan sebuah kerajaan stabil bagi memberikan keyakinan kepada pelabur untuk melabur di negara ini.

Persoalannya adakah kerajaan ketika ini tidak stabil? Bagaimana mahu dikatakan tidak stabil, kalau Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sendiri sudah menyatakan kerajaan ketika ini stabil kerana tiada pertentangan besar antara parti-parti yang bergabung dalam kerajaan manakala urusan kerajaan berjalan lancar?

Kenyataan Perdana Menteri itu seharusnya dihormati biarpun beliau yang juga Naib Presiden UMNO baru-baru ini turut meminta ahli-ahli parti bersedia menghadapi PRU-15 bila-bila walaupun tempoh tamat penggal masih ada setahun.

Tidak salah untuk Ismail Sabri berkata demikian kerana memanglah mana-mana partipun pasti akan melakukan persediaan apabila menyedari pilihan raya semakin dekat, tetapi isunya wajarkah ia dipercepatkan semata-mata desakan politik oleh kelompok tertentu dalam UMNO?

Adakah wajar suara orang politik atau kelompok politik lebih diutamakan sedangkan suara rakyat yang mempunyai kuasa menentukan siapa kerajaan dipinggirkan?

Sepatutnya, tumpuan sekarang ialah memulihakn ekonomi dan memulihkan kehidupan rakyat.

Mereka sudah cukup menderita apabila negara dilanda pandemik Covid-19 selama lebih dua tahun, sekarang adalah waktu untuk mereka bangkit semula bagi membentuk kembali kehidupan. Tetapi segelintir pemimpin UMNO, mereka ada agenda tersendiri.

Atas sebab itulah mereka begitu gah mempertahankan prerogatif Perdana Menteri dalam isu-isu tertentu tetapi pada masa sama mereka mendesak beliau membubarkan Parlimen.

Kelompok  seumpama ini hanya memperalatkan nama rakyat dan negara demi kepentingan politik sendiri.

Atas sebab itulah Ismail Sabri tidak harus tertekan dengan desakan kumpulan berkenaan. Apa yang beliau perlu beliau lakukan ia menumpukan perhatian menguruskan negara dan masalah rakyat dengan sebaik-baiknya…kalau boleh biarlah sehingga penggal berakhir.

Ia memandangkan, bukan sahaja kerana Ismail Sabri sedang menyusun atau baru mahu membina legasinya tetapi apa yang lebih penting ialah membela nasib rakyat dan menyelesaikan isu ekonomi yang semakin hari semakin meresahkan.

Ismail Sabri harus diberi peluang meneruskan legasi sebagai pemimpin nombor satu negara yang beliau sandang belumpun cukup setahun.

Beliau tidak harus diasak atau ditekan oleh mana-mana pemimpin khususnya mana-mana ‘kluster’ dalam UMNO untuk mengadakan pilihan raya secepat mungkin.

Agak aneh, kalau desakan seumpama itu dilakukan kerana selama ini, pemimpin-pemimpin berkenaan juga begitu yakin Barisan Nasional (BN) akan menang besar jika PRU-15 diadakan atas alasan hanya parti itu boleh membawa kestabilan dan kemakmuran.

Hujah kestabilan dan kemakmuran itu masih boleh diperdebatkan kerana ia sebenarnya bergantung kepada keikhlasan serta kejujuran ahli-ahli politik untuk menentukannya.

Kalau benar-benar jujur dan ikhlas berjuang untuk rakyat serta kepentingan negara, maka mereka janganlah menganggu Ismail Sabri melaksanakan tanggungjawab sebagai Perdana Menteri.

Cukuplah sekali gangguan seumpama itu dilakukan sehingga negara terpaksa menyaksikan satu adegan politik yang memualkan apabila ketika negara sedang ‘berperang sengit’ dengan pandemik Covid-19, gerakan disusun untuk menyingkirkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

Dan sekarang jawatan Perdana Menteri milik UMNO, Ismail Sabri adalah Naib Presiden UMNO…oleh itu apa lagi pemimpin UMNO mahu? Adakah kalau PRU-15 diadakan ketika negara sedang berhadapan dengan pelbagai masalah boleh selesai?

Atau adakah segelintir pemimpin UMNO masih masih mengharapkan ‘tuah’ di Melaka dan Johor khususnya yang menyaksikan  jumlah peratusan pengundi rendah memberi kemenangan kepada parti itu?

Mungkin ia boleh dianggap strategi yang agak bijak tetapi PRU bukan gelanggang PRN! Segala-galanya boleh berlaku.

Perlu difahami, beberapa pemimpin yang ‘disanjung’ dan ‘berkuasa’ dalam parti itu kini adalah liabiliti kerana ‘masalah mereka’.

Oleh itu Ismail Sabri harus mempunyai strategi bukan sahaja bagi menguruskan rakyat dan negara tetapi juga kelompok ‘kluster’ dalam parti tersebut.

Langkah itu perlu dilakukan kerana kelompok berkenaan sebenarnya yang membawa masalah kepada pentadbiran Perdana Menteri sekarang sehingga menyusahkan beliau.

Kesimpulannya, desakan untuk mengadakan pilihan raya awal bukan datang dari suara akar umbi UMNO atau rakyat marhaen tetapi oleh kelompok yang semakin hilang ‘naluri’ untuk memahami kesusahan rakyat ketika ini demi kepentingan peribadi mereka…apa kepentingan itu…semua orang boleh menekanya.

Semoga Ismail Sabri tidak tersalah percaturan…rakyat menaruh harapan.