DENGAN hasil sumbangan daripada orang ramai, pengacara terkenal tanah air, Datuk Aznil Nawawi berjaya mengumpul lebih RM100,000 untuk bantu membiayai kos pembedahan tulang belakang penyanyi Zamani Slam.

Kejayaan atas usaha dan inisiatif murni orang ramai itu dikongsikan oleh personaliti berusia 59 tahun itu melalui Insta Story miliknya.

Terdahulu, Aznil atau dipanggil mesra sebagai Pak Nil membuka akaun sumbangan dana yang dikumpulkan untuk membantu penyanyi lagu Gerimis Mengundang itu.

“Tabung bantuan untuk Zamani dah Paknil tutup ya. Itu adalah jumlah penuh yang dapat dikutip.

“Memang di luar jangkaan. Memang ramai yang sayangkan Zamani. Semoga Allah balas kebaikan kamu semua dengan rezeki yang berlipat kali ganda. Dan semoga dengan bantuan ini, Zamani dapat diembuhkan. Amin,” tulisnya di Insta Story.

Semalam, Aznil memuat naik rakaman perbualannya bersama Zamani di Instagram dan Facebook sebagai bukti pertolongan tersebut.

Menerusi perbualan kedua-dua individu terbabit, Aznil bertanya khabar perkembangan terbaru kesihatan Zamani dan meminta maaf kerana membuat kutipan tanpa pengetahuan penyanyi itu.

“Minta maaf Pak Nil buat kutipan untuk Zamani tak cakap dengan Zamani sebab Pak Nil tahu Zamani kata tak nak meminta-minta.

“Tapi Pak Nil kata tak apa biar Pak Nil yang buat. Zamani nak buat ‘show’ banyak-banyak, Pak Nil rasa keadaan Zamani nanti lagi memudaratkan,” katanya.

Difahamkan, Aznil juga telah mengosongkan akaunnya serta memaklumkan kepada pihak bank yang dia akan menerima dana daripada orang ramai kerana bimbang bank akan membekukan akaunnya apabila menerima kemasukan wang yang banyak.

“Dalam masa kurang 24 jam dapat kumpul dekat RM40,000. Ada yang hantar seringgit, ada yang hantar dua ringgit dan lima ringgit. Ramai sayang awak,” ujarnya.

Dalam nada terharu, Zamani berterima kasih kepada Aznil kerana sudi membantunya.

Walau bagaimanapun, penyanyi berusia 51 tahun itu enggan menerima wang tersebut lalu meminta Aznil menyimpan wang itu sehingga tiba waktu pembedahan.

Pun begitu, bekas pengacara rancangan televisyen Tom Tom Bak itu meminta Zamani mengambilnya untuk kegunaan rawatan kerana tidak mahu Zamani risau dan tertekan kerana boleh memudaratkan kesihatannya.

Terdahulu, pengurus Zamani iaitu Aalan Ahmad meminta pihak yang mahu mewujudkan tabung dana untuk Zamani agar tidak berbuat demikian kerana penyanyi itu masih di peringkat awal rawatan.

Dia juga bimbang serta tidak mahu wujudnya penipuan (scammer) yang mengambil kesempatan dengan membuka akaun palsu atas namanya