Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan. (Gambar fail dari FB Shahril Hamdan).

“CERITA lama tak perlu diungkit dan ditokok tambah.”

Demikian kata Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan mengulas mengenai pendedahan bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dalam sidang akhbar, petang tadi.

Menurut Shahril, hadir dalam mana-mana perjumpaan tidak semestinya bermakna menyokong apa-apa gerakan.

Beliau berkata, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sendiri lebih tahu dan sudah lama tahu tentang hal tersebut.

Malah, Shahril menegaskan ahli UMNO perlu membiarkan Presiden untuk mengadili isu berkenaan.

“Perhimpunan Agung UMNO (PAU), PAU Khas, Konvensyen Barisan Nasional (BN) sudah menampakkan kesepakatan untuk menuju pilihan raya. Parti dah buat keputusan.

“Presiden dan Timbalan jaga parti, PM (Perdana Menteri) jaga kerajaan. Bergerak seiring. Soal lantikan MKT, hak Presiden. Presiden menang bertanding, hak institusi itu mesti dihormati.

“Soal lantikan Kabinet, biar PM uruskan. Tiada keperluan pertikai persoal terbuka dan menambah perasa. Beliau Naib Presiden, beliau poster boy yang telah direstui dan diputuskan Presiden, Timbalan, MKT dan umumnya, parti.

“Tak perlu timbulkan curiga. Takkan orang UMNO rasa elok nak lemahkan PM dan calon PM sendiri?,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baca artikel berkaitan: Ramai pemimpin UMNO mahu Zahid berundur – Tajuddin

Beliau mengulas pendedahan Tajuddin bahawa ramai pemimpin UMNO pernah meminta Ahmad Zahid melepaskan jawatan sebagai presiden parti tersebut.

Mengulas lanjut, Shahril menegaskan, pendedahan yang dilakukan Tajuddin itu sudah tentu hanya ‘menggembirakan’ pihak lawan yang mendengar dakwaan tersebut.

Katanya, segala dakwaan itu menjadi peluru untuk terus menyerang UMNO.

“Satu hari ada pihak kata PM lemah. Sedangkan beliau sedang sibuk sehabis baik mengurus negara dalam keadaan ekonomi dan politik cukup mencabar.

“Hari lain pula ada pihak kata Presiden liabiliti dan lemah juga. Sedangkan lemah macam mana kalau dah memimpin kejayaan 7-0 dalam pilihan raya?

“Hari-hari adu domba dan mesej tular melabel si polan kluster Putrajaya, si polan kluster PWTC.

“Spekulasi tak henti-henti yang ini akan kena pecat yang itu akan kena pecat. Yang ini akan jadi calon yang itu takkan jadi calon. Ada yang tembak Presiden ada yang tembak PM. Cybertrooper Umno digerakkan untuk serang orang UMNO sendiri,” tegas beliau.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram