PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau tidak tahu-menahu mengenai dakwaan terdapat usaha sekumpulan pemimpin parti yang mahu memujuknya berundur dari menerajui parti tersebut.
“Saya tak mengetahui (mengenai) perjumpaan itu.
“Saya tidak mengetahuinya,” kata Zahid ketika ditemui pemberita di kompleks mahkamah Kuala Lumpur hari ini.
“Jadi kita mesti hormati perlembagan parti iaitu jika seseorang itu dipilih oleh perwakilan maka jika sesuatu permintaan itu mahu dilakukan, ia juga ada peraturan parti yang memboleh atau tidak membolehkan seseorang itu berada di sesuatu jawatan,” katanya memetik laporan Malaysiakini.
Semalam, Ahli Parlimen Pasir Salak, Tajuddin Abdul Rahman mendakwa sekumpulan pemimpin kanan UMNO berkumpul untuk mencari kesepakatan bagi mendesak supaya Ahmad Zahid berundur sebagai presiden UMNO pada Mei 2020.
BERITA BERKAITAN Ramai pemimpin UMNO mahu Zahid berundur – Tajuddin
Dia mendakwa antara pemimpin yang hadir ialah bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, timbalan presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dan naib presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Bagaimanapun, katanya usaha berkenaan gagal selepas Mohamad dan Najib “membelot” daripada kesepakatan tersebut.
Tajuddin mendakwa Mohamad yang juga bekas menteri besar Negeri Sembilan, “digertak” oleh pegawai kanan Ahmad Zahid.
Sementara itu, mengenai sama ada Tajuddin akan dikenakan tindakan tatatertib, presiden UMNO itu berkata parti itu akan mengikut proses yang sewajarnya.

