KEUTUHAN selama 15 tahun yang tercipta pada band punk rock, Bunkface telah membuktikan bahawa keuwujudan mereka dalam industri muzik telah memberi impak yang mendalam dan memmiliki pengikut tersendiri sejak awal penubuhannya.

Dianggotai oleh Sam selaku vokalis dan pemain gitar utama, Youk (bass), Pa’an (gitaris) dan Biak (dram), mahu menghargai peminat setia mereka dengan sebuah konsert istimewa iaitu Bunkface! 15 Years Of Korang pada 30 dan 31 Julai ini.

“Bunkface!15 Years Of Korang merupakan konsert untuk menymabut ulang tahun ke-15 Bunkface sejak ditubuhkan pada 2005.

“Tujuan utama konsert ini diadakan adalah untuk mempersembahkan lagu-lagu kami kepada peminat Bunkface yang juga dikenali sebagai Bunkers secara ‘live’ bersama-sama mereka,” kata Youk.

Biarpun sedang sibuk menyiapkan album kelima, namun Bunkface masih berkesempatan mengadakan konsert buat Bunkers yang merindui aksi lincah mereka di atas pentas.

“Sebenarnya kami rancang nak buat konsert ini tahun lepas. Tapi pandemik Covid-19 membuatkan perancangan tersebut tertunda.

“Sebaik sahaja negara sudah memasuki fasa endemik dan boleh buat aktiviti secara fizikal. Jadi, kami rasa inilah masanya untuk beraksi dan bertemu kembali dengan peminat,” ulas Pa’an.

Bunkface bersama Ketua Pegawai Eksekutif Hitman Solutions, Rohit Rampal

Bercerita lanjut tentang konsert yang berlangsung dua hari itu nanti, menurut Sam, mereka akan menjanjikan sebuah persembahan yang terbaik dan menyampaikan 25 buah lagu termasuklah sebuah single terbaharu.

“Kami dah lama tak buat konsert berskala besar, kali terakhir pada 2016. Jadi bagi saya, selepas berehat dua tahun disebabkan pandemik Covid`-19, kami takut pada konsert itu nanti kami ‘jatuh’ atas pentas, semput dan sebagainya.

“Banyak ‘surprise’ tapi banyak orang penting di mana Bunkface bermula, ramai orang yang masa itu akan datang balik. Contoh Biak yang kembali bersama dengan kami semula.

“Ramai orang yang akan bekerjasama untuk konsert ini. Ia akan jadi malam istimewa sebab Sam rindu nak buat persembahan. Lagi-lagi tiket ‘sold out’ untuk hari pertama.

“Kami janjikan persembahan yang sangat-sangat best…Insya-Allah,” jelasnya.

Pada malam konsert itu juga, Bunkface akan mempersembahkan single terbaharu berjudul I Miss You hasil ciptaan mereka sendiri sebagai apresiasi kepada peminat yang setia menyokong perjuangan mereka selama ini.

“Penonton yang datang ke konsert kami itu nanti berpeluang mendengar lagu terbaharu daripada kami secara eksklusif buat pertama kalinya yang belum dilancarkan di mana-mana platform.

“Lagu itu menceritakan tentang perjalanan seni kami sejak ditubuhkan dengan terperinci tentang apa yang sebenarnya terjadi dan bagaimana.

“Lagu ini juga sebagai kerinduan terhadap peminat kami yang setia dari hari pertama sehingga sekarang,” ungkap Pa’an.

Bunkface! 15 Years Of Korang akan berlangsung di Zepp Kuala Lumpur, pukul 8 malam.

Tiket pada hari pertama telah pun habis dijual dalam masa 11 jam selepas dilancarkan pada 14 Jun lalu.

Walau bagaimanapun, tiket untuk hari kedua masih boleh dibeli di www.hitmanlive.com