SELEBRITI Kilafairy mengakui tidak memikirkan mengenai kekurangan tawaran kerja ketika membuat keputusan untuk bertudung.
Menurut pelakon itu, dia mengubah penampilannya hanya untuk beristiqamah dan tidak kisah jika kerjaya seninnya tidak lagi serancak dahulu.
Kilafairy, atau nama sebenarnya Syakila Nisa Jahangir Khan turut berkata, dia percaya bahawa dia akan lebih bersemangat apabila bertudung.
“Bila saya buat keputusan untuk bertudung, bab kerja tak terlintas pun dalam fikiran. Saya tak fikir kalau lepas ini saya bertudung, saya akan kurang dapat tawaran.
“Saya bertudung kerana Allah. Dalam segi pekerjaan memang saya tak fikir pun. Mungkin benda ni akan buat kita lebih bersemangat untuk istiqamah. Benda yang baik, Allah akan balas baik,” katanya kepada URTV.
Kilafairy berkata demikian apabila ditemui pada majlis Ulang Tahun Pertama RR Monoscarves yang berlangsung di Bukit Bintang, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Tambah pelakon filem Karak itu, rezeki yang dikurniakan kepadanya selepas bertudung tidak berkurangan malah dia banyak ditawarkan untuk berlakon.
“Dalam bab berlakon, saya masih lagi aktif. Baru sahaja lakukan pergambaran hari itu. Dah ditayangkan dah pun. Tak ada isu dan kekangan pun.
“Saya boleh katakan rezeki saya bertambah-tambah, Alhamdulillah. Cuma sekarang ini, kena pilih-pilih sikit lah watak yang ditawarkan tu.
“Saya harus pastikan pihak produksi bersetuju dengan permintaan saya untuk tidak melakukan perkara yang saya tak nak. Mana yang saya boleh lakukan, saya terima sahaja,” ujarnya.
Pelakon berusia 30 tahun itu turut memberitahu bahawa dia tidak berani untuk berkongsi mengenai penghijrahannya kerana bimbang ia tidak bertahan lama.
Tambahnya, semua produksi yang menawarkan dia berlakon menghormati permintaannya untuk tidak membawakan babak yang enggan dilakonkan.
“Saya kurang nak bercerita mengenai penghijrahan saya beristiqamah. Sebab kita pun tak tahu sampai bila ia akan bertahan. Saya tak nak cerita lebih-lebih sebab takut sekejap sahaja. Tapi saya akan cuba yang terbaik.
“Sampai sekarang Alhamdulillah, saya tidak terdetik nak mengubah penampilan ke tidak bertudung. Cuma kita tak tahu sampai mana istiqamah kita ni kan.
“Apabila melakukan pengambaran, pihak produksi menghormati permintaan saya. Ada babak yang saya beritahu saya tidak mahu buat seperti membuka tudung dan sebagainya. Jadi, mereka pun faham,” ujarnya.
Sementara itu, menyentuh soal perancangannya untuk menamatkan zaman bujang, Kilafairy bagaimanapun memilih untuk enggan berkongsi kisah peribadinya.
“Saya tak mahu bercerita mengenai kehidupan peribadi saya. Kalau ada yang mendakwa mengenai saya akan berkahwin dalam masa terdekat ini, kita aminkan sahaja.
“Andai kata saya akan berkahwin nanti, saya akan kongsikan dengan peminat,” katanya.

