SETIAUSAHA Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengakui menggubal draf perjanjian melibatkan jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) antara Perikatan Nasional (PN) dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Bagaimanapun, Takiyuddin memaklumkan, draf tersebut bukanlah satu perjanjian sebaliknya memorandum perjanjian (MoA).
Memetik laporan BH Online, beliau berkata, draf perjanjian itu dilakukan atas kedudukan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) pada waktu itu.
Kata beliau, ia bukan dilakukan atas kapasiti parti selaku Setiausaha Agung Pas.
“Saya adalah bekas Menteri Undang-Undang, jadi semua yang berkaitan dokumen undang-undang saya akan diminta membuat berkenaannya, bukan kerana saya (semata-mata) adalah Takiyuddin.
“Ia (isu TPM) bukan satu perjanjian, sebaliknya dipanggil sebagai Memorandum Perjanjian (MoA),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Program Mesra Rakyat Keluarga Malaysia (Zon Tengah) Kementerian Tenaga dan Sumber Asli di Bukit Gantang, hari ini.
Mengulas lanjut, Takiyuddin memaklumkan, walaupun ‘perjanjian’ itu secara terperinci menyebut tentang jawatan TPM, namun ia tidak mensyaratkan pelantikannya adalah dimestikan.
Baca artikel berkaitan: Perjanjian jawatan TPM, Abdul Hadi perlu rujuk Takiyuddin
Beliau berkata, ini kerana klausa mengenai TPM tidak termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Justeru, perlantikan TPM berada pada kehendak Yang Dipertuan Agong (YDPA).
“Jadi bila tiada dalam perlembagaan, maka terpulang kepada YDPA sama ada hendak lantik TPM atau terpulang (sebaliknya). Jadi, tidak boleh kata wajib melantik TPM walaupun Perdana Menteri berhak atas hak prerogatifnya ingin melantik TPM jika beliau berasa memerlukannya,” katanya.
Ditanya sama ada Tan Sri Abdul Hadi Awang mengetahui kewujudan draf MoA berkenaan, Takiyuddin mengakui beliau tidak pasti sama ada Presiden Pas itu tahu atau sebaliknya.
“Tidak semua orang tahu mengenai ‘perjanjian’ (MoA) itu. Jadi kena tanya Tok Guru (Abdul Hadi) sendirilah dia tahu atau tidak sebab dia bukan orang yang tandatangan MoA berkenaan.
“Mungkin kenyataannya (Abdul Hadi) sebelum ini (mengenai tidak wujud perjanjian Muhyiddin-Ismail Sabri) adalah jawapannya secara spontan apabila ditanya yang mana dia mungkin tidak tahu,” katanya.
Semalam, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta Abdul hadi merujuk kepada Takiyuddin berhubung kewujudan perjanjian jawatan TPM antara PN dengan Perdana Menteri.
Ini kerana Takiyuddin merupakan individu yang menggubal draf perjanjian tersebut.
Media sebelum itu melaporkan Abdul Hadi berkata tidak wujud perjanjian pelantikan Timbalan Perdana Menteri dalam PN, namun beliau mengakui perkara itu dibincangkan di antara PN dengan Ismail Sabri dan tiada keputusan dicapai.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

