Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melancarkan Rangka Tindakan Perumahan 3.0 (BP3.0) Kementerian Pertahanan, hari ini.

RANGKA Tindakan Perumahan 3.0 (BP3.0) Kementerian Pertahanan (Mindef) mampu menjamin kemudahan perumahan kepada warga kerja pertahanan yang telah banyak menyumbang bakti kepada kedaulatan negara.

Warga kerja pertahanan juga disifatkan paling banyak berkorban demi membela keselamatan Keluarga Malaysia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, BP3.0 akan memastikan perancangan Agenda Perumahan Mindef yang bermula tahun ini hingga 2030 dapat dilaksanakan dengan teratur selari dengan aspirasi Keluarga Malaysia.

Menurut beliau, kerajaan menyanjung tinggi pengorbanan warga kerja pertahanan yang tidak menghiraukan penat lelah untuk mempertahankan keamanan negara tanpa mengira masa dan tempat malah sanggup meninggalkan keluarga untuk berjuang di perbatasan.

“Sehubungan itu, pelbagai inisiatif dilakukan seperti Rumah Keluarga Malaysia Angkatan Tentera (RKMAT), program Satu Rumah Satu Anggota (SASaR) serta perumahan mampu milik Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta program-program pembaikan serta pembinaan rumah veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Dengan adanya tempat untuk berteduh bagi warga kerja pertahanan, saya percaya mereka yang terpaksa berpisah kerana menggalas cabaran di perbatasan berasa lega dan yakin keluarga yang ditinggalkan di rumah berada dalam keadaan selamat serta selesa,” katanya.

Baca artikel berkaitan: Felo Perdana beri peluang belia fahami selok-belok pentadbiran – PM

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Pelancaran BP3.0, hari ini.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, BP3.0 merupakan agenda perumahan menyeluruh bagi menambah baik aspek kebajikan warga ATM termasuk veteran dan warga awam yang mendukung aspirasi Keluarga Malaysia dalam melestarikan kebajikan warga kerja pertahanan.

Sebagai bekas Menteri Kanan Pertahanan, Ismail Sabri memaklumkan beliau sangat prihatin dan sentiasa berusaha memastikan kebajikan warga kerja pertahanan terpelihara.

“Sebab itu seperti yang Datuk Hisham (Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein) sebut tadi, biarpun saya baru pulang dari Turkiye, kemudian hujung minggu pulang ke Parlimen saya, Bera untuk menyambut Aidiladha tetapi apabila diundang untuk bersama warga Mindef dan ATM, sudah tentu saya tidak akan lepaskan peluang ini.

“Justeru, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kerana tidak pernah lupa mengundang saya untuk bersama-sama dalam majlis yang sangat bermakna hari ini. Terima kasih sekali lagi,” jelas beliau.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram