Prof Emeritus Tan Sri Dr. Anuwar Ali GAMBAR: Abd Razak Aid

KERAJAAN dilihat mempunyai keupayaan yang hebat dalam merancang langkah-langkah penting bagi mengatasi isu inflasi yang menekan rakyat ketika ini.

Begitupun, menurut Presiden Universiti Terbuka Malaysia (OUM), Prof. Tan Sri Datuk Anuwar Ali, perancangan yang hebat tidak mempunyai sebarang makna sekiranya pelaksanaannya masih lemah.

Jelas beliau, kelemahan pelaksanaan itu membuatkan isu inflasi yang melanda negara ketika ini masih gagal diselesaikan dengan baik dan menyeluruh.

“Inflasi yang berlaku secara mendadak ini adalah gejala kelemahan ekonomi negara dan sememangnya isu yang serius tetapi kita masih belum sampai ke tahap yang berlaku di Sri Lanka.

“Jika dibaca Rancangan Malaysia Ke-2 (RMK2) sehingga Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), mungkin kita boleh mendapat perubahan positif dari segi ekonomi khususnya buat orang Melayu.

“Tetapi pelaksanaan kepada segala perancangan dalam RMK ini kurang. Sepatutnya setiap kementerian tengok perancangan itu dan ambil tindakan sesuai untuk melaksanakannya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang meja bulat bertemakan ‘Inflasi Meledak Mendadak, Rakyat Terperangkap’ di Wisma Majlis Perundingan Melayu (MPM) hari ini.

Turut hadir Setiausaha Politik Tan Sri Annuar Musa, Datuk Dr. Budiman Mohd Zuhdi; Setiausaha Agung MPM, Datuk Dr. Hasan Mad; Pengerusi Jawatankuasa Pemandu Majlis Perundingan Melayu (MPM), Tun Mohamad Hanif Omar, wakil-wakil agensi kerajaan dan ahli-ahli akademik.

Presiden Persatuan Alumni Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Mohamed Maliki Mohamed Rapiee menggalas tugas sebagai moderator untuk mengemudi sidang tersebut.

Selain Anuwar, dua ahli panel yang turut berkongsi pandangan mengenai isu inflasi ialah Felo Penyelidik Kanan Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Datin Paduka Dr Fatimah Mohamed Arshad dan wakil MPM, Syed Zikiri Syed Hassan Shahabudin.

Baca artikel berkaitan: MPM anjur sidang meja bulat, bincang isu inflasi

Mengulas lanjut, Anuwar Ali berkata, isu inflasi terjadi kerana pihak bertanggungjawab gagal untuk menyelesaikan tiga teras utama yang perlu diberi perhatian iaitu pasaran buruh tidak anjal; produktiviti pekerja tempatan yang rendah dan kemahiran buruh tempatan yang rendah.

Selain itu, katanya, Malaysia juga masih mengamalkan polisi atau dasar gaji yang rendah yang mana sebahagian besar golongan B40 terdiri daripada orang Melayu.

Sementara itu, Fatimah menegaskan kerajaan tidak sepatutnya menumpukan pemerkasaan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Jelas beliau, kerajaan sepatutnya mengambil insiatif untuk mewujudkan dasar yang mesra kepada pekebun kecil seperti menyediakan kemudahan mesin pintar dan applikasi ICT.

“Kita perlu sedar bahawa pekebun kecil ini bukan liabiliti tetapi adalah aset untuk negara. Begitupun, lebih 90 peratus petani di dunia adalah petani kecil yang kurang diberi perhatian.

“Negara tidak memerlukan banyak GLC dabn subsidiari masing-masing sebaliknya menggantikannya dengan program pendayaupayaan petani dengan kemahiran dan keusahawanan,” katanya.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram