ATLET-atlet triatlon hebat di Asia bakal berkumpul di Silverlake Village Outlet, Batu Gajah, Perak untuk berentap dalam siri akhir Asia Triathlon Cup (ATC) 2022 pada pertengahan November ini.
Kejohanan yang dijadual berlangsung bermula 18 hingga 20 November itu dijangka menarik 1,000 peserta dari 35 negara.
Malaysia diberi kepercayaan untuk menjayakan acara berprestij itu selepas kali terakhir diadakan di Sabah sekitar 1980-an.
Sebanyak enam kategori dipertandingkan dalam kejohanan tersebut iaitu lelaki dan wanita elit peringkat umur 23 tahun ke atas, peringkat umur 19 hingga 23 tahun dan peringkat umur 16 hingga 19 tahun.
Selain itu, Persatuan Triathlon Perak dan Persatuan Triathlon Malaysia selaku penganjur bersama turut akan menganjurkan perlumbaan peringkat umur untuk peserta tempatan sekali gus dijadikan sebagai medan bagi mencari juara kebangsaan.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu melahirkan rasa bangga dengan penganjuran kejohanan tersebut yang membuktikan Malaysia telah membuka pintu seluas-luasnya untuk menganjurkan banyak acara sukan antarabangsa.
“Sebelum ini kita telah menganjurkan Kelayakan Bola Sepak Piala Asia 2023 dan Kejohanan Berbasikal Le Tour de Langkawi pun akan menyusul,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan pelancaran ATC 2022 di Putrajaya hari ini.
Menurut Faizal, penganjuran ATC juga bakal menyemarakkan sektor pelancongan negara.
Tambahnya, syarikat pengurusan acara, Stagemaker Sdn. Bhd. akan menyiarkan perjalanan kejohanan ini di media sosial termasuk Youtube dan Facebook.
“Saya juga difahamkan pihak Persatuan Triathlon Malaysia akan membantu memastikan ATC 2022 disiarkan di saluran YouTube World Triathlon yang memiliki jutaan pengikut,” katanya.
Sementara itu, Presiden Triathlon Malaysia, Tony Tan Beng Hong memberitahu, pihaknya menjangkakan 20 atlet kebangsaan akan memberikan cabaran dalam kejohanan ini.

