Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid. GAMBAR: Abd Razak Aid

SERAMAI 17 pengunjung di sebuah pusat hiburan di Petaling Jaya ditahan semalam dipercayai terlibat dengan pelbagai kesalahan penyalahgunaan dadah.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid berkata serbuan dibuat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya (PJ) kira-kira 12.30 tengah malam di kawasan Sea Park.

“Ketika serbuan seramai 76 pengunjung didapati sedang berhibur dan hasil pemeriksaan 17 daripada mereka berumur lingkungan 20 hingga 50-an positif dadah dan disiasat di bawah Seksyen 39A (1) dan (2), Seksyen 12 (2) serta Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Dadah jenis MDMA dan ketamin dengan anggaran berat masing-masing 42 gram (g) dan 11.5 g turut dirampas bernilai RM3,720, kesemua suspek direman untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Mohamad Fakhruddin berkata polis mengadakan serbuan ke atas dua premis pusat hiburan lain di Petaling Jaya menerusi Op Noda Khas/Op Pusat Hiburan pada 11.30 malam semalam dan didapati gagal mengemukakan lesen hiburan dan lesen menjual minuman keras bagi tahun ini.

Beliau berkata hasil serbuan tersebut, seorang lelaki tempatan penjaga kaunter berdepan tindakan saman manakala dua warga asing termasuk seorang wanita yang merupakan pekerja premis ditahan bagi membantu siasatan.

Menurut beliau, sebanyak 17 botol minuman keras pelbagai jenama, empat peralatan studio dan wang tunai berjumlah RM1,695 dirampas dalam dua serbuan itu.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 76 (1) Akta Eksais 1976, Seksyen 55/39(b) Peraturan Imigresen dan Seksyen 6 Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan Selangor,” katanya. -BERNAMA