Legenda Jambatan Tamparuli, cinta sumandak yang berakhir tragis

Dari Penulis

“PAK pak kang ku doh (Pak pak saya melangkah)… Sumunsui doh jambatan (Menyusur hai jambatan)… Jambatan doh Tamparuli (Jambatan si Tamparuli)… Bakasut tinggi oku (Saya berkasut tinggi)…”

Pasti ramai pernah mendengar lagu di atas. Kemerduan lagu Jambatan Tamparuli dalam bahasa Dusun yang dipopularkan oleh penyanyi tempatan, Justin Lusah pada awal 80-an dahulu. Secara tidak langsung lagu itu memperkenalkan Tamparuli ke seluruh Malaysia.

Tamparuli merupakan sebuah bandar kecil terletak dalam daerah Tuaran di Sabah. Majoriti penduduk di sini adalah daripada suku kaum Kadazan-Dusun.

Berdasarkan catatan sejarah, bandar kecil ini telah wujud lebih 200 tahun yang lalu, iaitu sebelum ia diberi nama Tamparuli lagi. Pada awal kewujudannya, pekan ini terlebih dahulu dikenali dengan nama ‘Bontoi’ oleh orang-orang tua terdahulu. Istilah Bontoi bermaksud jambatan sebenarnya merujuk kepada sebuah perkampungan kecil bernama Kampung Bontoi.

Daripada sebuah perkampungan kecil, Tamparuli  berkembang menjadi sebuah pekan selepas golongan peniaga luar terutama kalangan masyarakat Cina dari Tuaran mendirikan kedai runcit di sini sekitar 1930-an.

Seiring dengan perubahan itu, pekan yang terletak kira-kira 25 kilometer dari Kota Kinabalu ini turut mendapat nama baru – Tamparuli, seperti yang dikenali hari ini.

Pekan Tamparuli.

Terdapat banyak versi cerita bagaimana nama tersebut diperoleh. Menurut sumber yang diperoleh dari Muzium Sabah, Tamparuli mendapat nama daripada ayat ‘ditampar oleh air’, berasal daripada percakapan orang Brunei.

Dikatakan, pada zaman dahulu, pedagang-pedagang Brunei yang datang ke Tamparuli sering mengalami masalah untuk naik ke hulu sungai kerana arus air yang terlalu deras. Dari situlah muncul ayat ‘ditampar oleh air’ seterusnya disingkatkan menjadi Tamparuli.

Berdasarkan cerita lain pula, sekitar tahun 1942 hingga 1944, kawasan ini telah digunakan oleh tentera Jepun sebagai markas meletakkan kenderaan berat seperti lori dan trak. Lalu, penduduk tempatan menamakan kawasan tersebut sebagai ‘tempat lori’. Daripada ‘tempat lori’, lama-kelamaan sebutan itu berubah menjadi Tamparuli.

Jambatan gantung Tamparuli.

Hari ini jika disebut Tamparuli, satu perkara yang amat sinonim sudah pasti ialah jambatannya. Jambatan Tamparuli memang terkenal di sini. Bukan sekadar infrastruktur yang menghubungkan laluan, malah juga diabadikan sebagai mercu tanda kepada bandar ini.

Cinta tragis di sebalik jambatan

Pembinaan jambatan Tamparuli pertama dikatakan telah dimulakan oleh orang Cina. Binaan asal jambatan ini adalah berasaskan kayu dan tali. Dibina dalam keadaan tergantung merentasi Sungai Tamparuli.

Namun, jambatan itu telah musnah ditelan banjir besar yang berlaku sekitar tahun 1930. Sebagai gantinya, sebatang jambatan baru sepanjang 200 meter telah didirikan di tempat sama. Jambatan ilham kerajaan British pada tahun 1933 ini ternyata lebih kukuh serta sukar dinaiki air berbanding sebelumnya kerana dibina menggunakan gabungan simen dan besi.

Terdapat kisah di sebalik pembinaan Jambatan Tamparuli yang dibina British itu. Ketika ia dibina, Tamparuli berada di bawah jajahan British. Hendak dijadikan cerita, pada masa itu seorang pegawai British bernama Robinson yang berkhidmat di Tamparuli telah jatuh cinta dengan Solungkoi, seorang sumandak atau gadis tempatan yang cantik jelita.

Dipendekkan cerita, mereka menjadi sepasang kekasih. Namun, seorang jejaka tempatan bernama Intang dalam diam turut menaruh hati terhadap Solungkoi. Akan tetapi, Solungkoi hanya mahukan Robinson yang berwajah tampan dan berpangkat, berbanding Intang yang hanya bekerja sebagai kuli dan kurang daya tarikan.

Sebagai orang yang dipertanggungjawab menyiapkan projek pembinaan jambatan itu, Robinson sering menghadapi masalah kerana jambatan itu selalu roboh dan rosak akibat banjir besar.

Beliau yang runsing kerana tanpa jambatan sementara itu akan menyukarkan pihak British dan penduduk tempatan untuk berhubung dengan dunia luar telah menugaskan Intang untuk menyiasat perkara tersebut.

Jambatan Tamparuli.

Intang percaya masalah itu ada kaitan dengan benda ghaib seperti tombuakar (hantu air). Dia kemudian menemui seorang odu-odu (nenek-nenek). Odu tersebut mengatakan tombuakar marah kerana tapak pembinaan jambatan telah mengganggu kawasan tempat tinggalnya. Lalu, odu itu menyarankan supaya diadakan upacara untuk menjamu tombuakar sebagai tanda meminta maaf.

Namun, walaupun upacara jamuan sudah dilakukan, pembinaan jambatan masih lagi bermasalah. Rupanya, tombuakar mahukan nyawa seorang sumandak cantik sebagai peneman di dalam air.

Pada masa itu, tiada gadis lain lebih rupawan selain Solungkoi. Kerana dendam, Intang menghasut Robinson untuk mengorbankan Solungkoi. Robinson bingung hendak memilih yang mana – kerjaya atau kekasih hati. Demi tugas, Robinson akhirnya memilih untuk mengorbankan Solungkoi.

Suatu malam, Robinson, Solungkoi bersama penduduk kampung berpesta sambil meneguk minuman memabukkan. Solungkoi pengsan dan sebaik sahaja sedar, badannya diikat dan tergantung pada tali untuk diturunkan ke bawah jambatan. Ini ialah syarat tombuakar yang mahukan mangsanya ditanam hidup-hidup ke dalam cerucuk jambatan.

Solungkoi menangis dan merayu untuk dilepaskan. Malangnya, ia tidak didengari oleh sesiapa kerana semua penduduk kampung sedang mabuk. Solungkoi pasrah. Dia sempat membuat permintaan terakhir kepada tombuakar yang sedang menunggunya di dalam air dengan bersumpah – Jambatan Tamparuli tidak akan kukuh dan terus roboh selagi tidak mengorbankan darah Robinson.

Robinson pula menyesal dengan tindakannya. Bagi mengenang kekasihnya itu, Robinson mengukir nama Solungkoi di atas plat besi dan melekatkannya di cerucuk jambatan di mana Solungkoi ditanam. Selepas itu, Robinson dilaporkan membunuh diri dengan membiarkan dirinya dilemaskan oleh tombuakar.

Ramai mengatakan kisah ini sekadar mitos. Namun, ada yang menceritakan bahawa orang-orang yang pernah menyelam di sungai bawah jambatan ini pernah melihat plat besi berukir nama Solungkoi. Bagaimanapun, lokasi tepat keberadaannya dirahsiakan atas faktor-faktor keselamatan.

Yang pasti, walau sudah lebih 80 tahun, jambatan tersebut sampai ke hari ini tetap utuh.

_____

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Kecoh dakwaan Kuil Ular jadi tempat memohon hajat orang Islam, Malar dedah cerita sebenar

Isu berkaitan sebuah rumah ibadat yang dikenali sebagai Kuil Ular kembali menjadi perbualan di media sosial. Sebelum ini, Mastika mendapat...

More Articles Like This