TAHUKAH anda, kebanyakan barang-barang yang kita gunakan dalam kehidupan seharian berasal daripada ciptaan seorang wanita. Kebanyakan idea mereka datang berdasarkan keperluan hidup mereka ketika itu, lalu diinovasikan sehingga apa yang kita guna pakai pada hari ini.

Ini sebahagian produk harian yang dicipta wanita…

Mesin Basuh Pinggan

Hari ini, mesin basuh pinggan antara keperluan penting di rumah terutama di Eropah dan industri makanan kerana ia memudahkan kerja serta menjimatkan masa dan tenaga.

Mesin basuh pinggan pertama diilhamkan oleh wanita kelahiran Amerika, Josephine Cochrane. Dia mencipta mesin ini dengan menggunakan tekanan air, roda, pemanas air dan rak wayar di bangsal belakang rumahnya. Mesin ciptaannya ini kemudian dipatenkan pada tahun 1886.

Josephine hanya mencipta mesin ini, tetapi dia tidak pernah menggunakannya. Sebaliknya, ia digunakan oleh pembantu rumahnya untuk memudahkan kerja-kerja mereka.

Josephine mereka mesin basuh pinggan.

Beg Kertas

Margaret Eloise Knight merupakan pencipta Amerika yang popular pada abad ke-19 kerana ciptaannya yang praktikal dan digunakan secara meluas. Wanita ini mencipta bag kertas (paper bag) yang tujuan asalnya untuk membawa barangan runcit, namun penggunaannya meluas dan digunakan dalam pelbagai perkara.

Margaret ketika itu hanya seorang pekerja kilang kapas semasa dia mencipta mesin untuk menghasilkan beg kertas ini dan berjaya mempatenkan ciptaannya ini pada tahun 1871.

Margaret, wanita yang mencipta mesin menghasilkan beg kertas.

Liquid Paper

Salah satu alat penting dalam penulisan dan cetakan. Perkataan atau ejaan yang salah boleh dipadam dengan cecair putih ini sebelum dibetulkan semula. Penciptanya ialah Bette Nesmith Graham.

Beliau yang bekerja sebagai setiausaha ketika itu mencari idea bagaimana untuk membetulkan kesalahan ejaan pada kertas yang ditaip. Lalu dia berjaya menghasilkan formula cecair putih ini di dapur rumahnya. Dia menamakannya sebagai Liquid Paper yang dipatenkan pada tahun 1958.

Bette Nesmith, pencipta Liquid Paper.

Lampin Pakai Buang

Marion Donovan salah seorang pencipta prolifik sehingga namanya diabadikan di National Inventors Hall of Fame. Salah ciptaan terunggulnya ialah lampin pakai buang yang dipakai oleh bayi. Ia bermula bila wanita ini mencipta sarung kalis air yang dipatenkan pada tahun 1951. Jenama Pampers yang cukup terkenal dicetuskan oleh wanita ini.

Marion, pencipta lampin pakai buang.

Pedal Kaki Tong Sampah

Dikenali sebagai wanita genius pada tahun 1940-an, Lilian Gibreth mencipta pelbagai benda-benda kecil yang sebenarnya banyak membantu dalam kehidpan seharian.

Antara ciptaan Lilian ialah rak di bahagian pintu peti sejuk, membuatkan pembuka tin lebih mudah digunakan dan antara terkenal ialah tong sampah yang mempunyai pedal kaki.

Lilian, pencipta pedal kaki pada tong sampah supaya mudah dibuka dengan hanya dipijak saja.

Pengelap Kereta

Pengelap cermin kereta yang ada pada hari ini sebenarnya bermula daripada ciptaan wanita bernama Mary Anderson. Wanita ini mencipta wiper cermin kerata manual pertama pada tahun 1903.

Pada mulanya, ia tidak mendapat sambutan apabila pemandu kenderaan enggan menggunakannya. Kereta pada zaman itu tiada pengelap cermin. Mereka lebih yakin memandu tanpa wiper di dalam hujan mahupun salji.

Tetapi, setelah pengeluar kereta Cadillac memasukkan ciptaan wiper ini ke dalam model kereta mereka, ia mula jadi ikutan dan pada hari ini, ia salah satu alat yang wajib ada pada semua kenderaan.

Mary Anderson, wanita yang mendapat ilham menghasilkan pengelap cermin kereta.

_____

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram