Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli telah dilantik mengetuai 'pasukan perang' PKR bagi menghadapi Pilihan Raya. GAMBAR: Abd Razak Aid

TIMBALAN Presiden PKR, Rafizi Ramli akan mengetuai ‘pasukan perang’ parti itu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang.

Keputusan itu dicapai PKR pada mesyuarat pertama Majlis Pimpinan Pusat (MPP) parti itu bagi penggal 2022-2025, malam tadi.

Memetik laporan BH Online, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan, Rafizi akan dibantu Naib-Naib Presiden dan pengarah pilihan raya yang lalu, Fuziah Salleh.

“Kita yakin insya-Allah dapat mengangkat martabat dan kedudukan PKR dan Pakatan Harapan (PH). Untuk itu, saya telah mencadangkan agar Rafizi selaku timbalan presiden mengetuai pasukan perang pilihan raya ini.

“Rafizi akan diberi wewenang (kuasa untuk berbuat sesuatu) untuk bergerak secepat mungkin untuk memperkuatkan jentera pilihan raya parti.

“Mesyuarat pertama MPP ini membincangkan soal dan dasar hala tuju parti dan sebagainya.

“Kita bermula dengan menyusun barisan kepimpinan yang baharu, selain yang sudah diberikan mandat dalam pemilihan parti seperti diumumkan pada Kongres Nasional PKR 2022 yang berakhir Ahad lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mesyuarat yang berlangsung kira-kira 1 jam 30 minit itu, malam tadi.

Baca artikel berkaitan: Rafizi datang bagi ‘panadol’, hilang pening saya – Anwar

Sementara itu, Anwar turut mengumumkan pelantikan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar sebagai Naib Presiden lantikan.

Selain Izzah, dua lagi individu yang dilantik adalah Timbalan Pengerusi II Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR, K Saraswathy dan Ahli Parlimen Putatan, Awang Husaini Sahari.

Pada masa sama, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang tewas dalam pemilihan bagi jawatan Timbalan Presiden terus diberi tugas selaku Setiausaha Agung PKR.

Mesyuarat MPP PKR turut melantik Fahmi Fadzil sebagai Ketua Penerangan manakala Ahli Parlimen Selayang, William Leong dilantik Bendahari Agung.

Menurut Anwar, Zahir Hassan pula dilantik sebagai Ketua Setiausaha Pengelola PKR.

Dalam pada itu, mesyuarat berkenaan turut melantik lima ahli MPP baharu iaitu G. Manivannan; Ahli Parlimen Tawau, Christina Liew dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Tiga, Rodziah Ismail.

“Turut dilantik Abun Sui Anyit dari Sarawak dan seorang tokoh muda dari Johor yang bergerak aktif dalam AMK, walaupun dia sekarang Ketua Cabang Tebrau, R Yusneswaran,” katanya.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram