Peningkatan kos sara hidup antara permasalahn yang diluahkan rakyat di media sosial. GAMBAR hiasan: Abd Razak Aid

KENAIKAN harga barang kebelakangan ini memberi kesan kepada pengguna terutamanya dalam kalangan rakyat berpendapatan rendah atau golongan B40. Sebelum ini, tular di media sosial mengenai perbezaan harga minyak masak sawit yang dijual di pasar raya selepas pihak kerajaan membuat keputusan untuk menarik subsidi bagi minyak masak berbotol.

Menurut laporan sebuah akhbar, harga barang keperluan melonjak sekitar 50 peratus sehingga 60 peratus susulan pelaksanaan gaji minimum RM1,500. Walaupun kerajaan telah menetapkan gaji minimum yang baru, masih ramai juga majikan yang tidak mengikut saranan dan tetapan yang dikemukakan oleh pihak kerajaan ini.

Selain itu, rangkaian Eco Shop yang popular dengan harga setiap barangnya hanya RM2.20 turut mengumumkan kenaikan harga di semua rangkaiannya kepada RM2.40 mulai 1 Jun yang lalu. Rangkain Eco Shop yang terkenal dalam kalangan rakyat marhaen ini turut terpaksa mengambil tindakan yang “tidak popular” ini bagi memastikan kelangsungan perniagaan mereka.

Penulis juga pernah melihat video di media sosial yang menggambarkan rakyat marah akan kenaikan harga barang yang tidak munasabah dan menyukarkan mereka untuk membeli barang keperluan terutama golongan B40 yang hanya “kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.”

Hal yang sama juga dirasai oleh peniaga kecil yang baru mula bangkit selepas pandemik COVID-19 yang mana mereka juga bergelut untuk meneruskan perniagaan sedangkan harga barang mentah kian melambung dan terpaksa menanggung kerugian yang besar jika perniagaan mereka tidak laku.

Kesan daripada kenaikkan harga ini mungkin boleh menyebabkan pengguna kurang untuk mengunjungi permis perniagaan kerana mereka mahu mengurangkan perbelanjaan untuk berjimat cermat. Lebih-lebih lagi bagi mereka yang mempunyai bilangan ahli keluarga yang ramai dan mempunyai tangga gaji yang rendah, lebih perlu untuk berjimat cermat di masa kritikal ini.

Walaubagaimanpun, penulis juga faham akan tindakan kerajaan menaikkan harga barang adalah untuk memulihkan semula ekonomi negara. Menurut laporan berita, Pengarah Perhubungan Luar Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) Malaysia, Dr Zokhri Idris menyatakan keperluan mengawal selia daripada kerajaan dan pihak autoriti bertujuan mengimbangi kenaikan harga barangan bagi mengelak inflasi hiper atau inflasi tinggi.

Seluruh dunia turut terkesan dengan kegawatan ekonomi akibat virus Covid-19 dan ekonomi dunia turut dipengaruhi dengan konflik yang berlaku antara Russia dan Ukraine. Namun tindakan menarik subsidi di negara kini dilihat oleh majoriti rakyat Malaysia sebagai sesuatu keputusan yang diambil pada waktu yang kurang tepat. Terdapat sebilangan golongan rakyat yang telah kehilangan kerja dan sedang bergelut mencari sumber kewangan untuk meneruskan kehidupan seharian.

BERITA BERKAITAN Himpunan bantah kenaikan harga barang dihalang ke Dataran Merdeka

Malah, saban hari dapat dilihat di media, sebilangan rakyat mula mengalami masalah mental dan ada yang membunuh diri akibat kesempitan hidup di era pasca-Covid 19 ini.

Penulis bukanlah pakar ekonomi, cuma sebagai rakyat marhaen, penulis mewakili rakyat Malaysia mengharapkan pihak kerajaan cubalah sedaya upaya menunjukkan komitmen untuk menyelamatkan negara dari terus menghadapi masalah kegawatan ekonomi yang lebih besar. Ahli-ahli politik sama ada pembangkang atau kerajaan, cukuplah dengan sandiwara politik, lebih-lebih lagi dengan pilihanraya yang menjelang.

Tunaikanlah kata-kata keramat yang selalu dilaungkan, “kami berjuang untuk rakyat” dan buktikan kepada rakyat bahawa ia bukan kata-kata kosong. Kadang-kadang menerusi beberapa ucapan yang dilakukan oleh ahli politik lebih menunjukkan mereka lebih berminat untuk “mendapat kuasa” dan bukan berjuang untuk rakyat seperti yang diucapkan.

Penulis pasti semua rakyat mahu isu ketirisan dan rasuah dikendalikan dengan sebaiknya dan perbelanjaan negara diuruskan dengan cermat apatah lagi ketika zaman ekonomi yang tidak menentu ini. Sekali lagi suka diingatkan, walaupun pilihan raya semakin dekat, buat sementara waktu ini, ahli-ahli politik dan pemikir di negara ini, cubalah bersatu dan fikir bagaimana untuk menaikkan ekonomi negara. Jangan pula isu kegawatan ekonomi ini dijadikan “peluru” oleh mana-mana pihak untuk kempen pilihanraya yang menjelang.

Pelbagai laporan di media sangat membimbangkan apabila membincangkan mengenai pelaburan kepada negara yang semakin berkurang kerana ketidakstabilan politik negara. Suka untuk diingatkan, negara kita sudah bertukar kerajaan dan Perdana Menteri sebanyak tiga kali semenjak Pilihanraya 2018. Cukup-cukuplah, wahai semua ahli politik!

Semoga Allah berikan taufik dan hidayah kepada kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri ini untuk benar-benar berusaha untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang lebih berdaya saing dan keluar dari kegawatan ekonomi yang berpanjangan.

Penulis turut berterima kasih kepada kerajaan pimpinan Ismail Sabri yang kerap menjalankan pemantauan mengenai harga ayam dan masih meneruskan subsidi bagi harga ayam. Menurut laporan Utusan Malaysia, keseluruhan subsidi harga ayam yang diperuntukkan kerajaan sejak 5 Februari,2022 adalah RM1.1 bilion.

Kami juga mengalu-alukan tindakan yang diambil oleh Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi, Tan Sri Annuar Musa yang mahu pengilang dan peruncit memberi komitmen menurunkan harga minyak masak yang dijual apabila berlakunya penurunan minyak sawit.

Annuar sebelum ini menjelaskan semua agensi termasuk Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) diarah untuk melihat mekanisme harga runcit minyak masak.

Sebagai rakyat biasa, kami tetap patuh dan taat kepada kerajaan yang sedia ada namun jangan hancurkan harapan dan pertaruhkan kepercayaan yang diberikan.

  • Muhd Khairani Ebrahim ialah Pelajar Tahun 3 jurusan Komunikasi, USIM dan Dr. Muhammad Raqib Mohd Sofian ialah Pensyarah Kanan (Kewartawanan), Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, USIM.