CACAR Monyet sudah dilaporkan di 74 negara. Malaysia setakat ini seperti dimaklumkan Kementerian Kesihatan (KKM) masih sifar.
Namun di selatan, Singapura dan jiran di utara, Thailand sudah melaporkan virus itu yang diisytiharkan sebagai darurat kesihatan awam oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Jumaat lalu.
Menerusi satu sidang media Jumaat lalu, WHO juga memamklumkan penularan virus monkeypox pada ketika ini dilaporkan berlaku dalam kalangan gay, biseksual dan lelaki lain yang melakukan hubungan seks dengan lelaki (MSM) atau individu dengan risiko tinggi jangkitan seperti pekerja seks dan transgender.
Bagaimanapun, ini tidak bermakna penyakit tersebut ekslusif kepada golongan tersebut sahaja kerana ia masih boleh merebak kepada ahli keluarga melalui sentuhan dan gigitan haiwan.
Sehubungan itu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dalam kenyataan media hari ini menyeru individu yang mempunyai gejala monkeypox untuk segera ke fasiliti kesihatan untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut dan elakkan daripada kontak dengan orang lain bagi mengelakkan penularan jangkitan.
Apa gejalanya?
Gejala monkeypox termasuklah demam, keletihan, sakit kepala, ruam makulapapular yang bermula di muka kemudian menyebar ke tapak tangan dan tapak kaki diikuti bahagian tubuh yang lain, lenguh tubuh badan, sakit bahagian belakang badan atau sendi, kejang otot dan pembengkakan kelenjar limfa.
Justeru kata Khairy, pengembara yang tiba dari negara melaporkan cacar monyet dinasihatkan memantau status kesihatan kendiri setiap hari termasuk gejala jangkitan monkeypox untuk tempoh selama 21 hari dari tarikh ketibaan di Malaysia.
“Semua fasiliti kesihatan diingatkan supaya peka dengan situasi semasa jangkitan berkenaan serta meningkatkan pengesanan kes dalam kalangan pesakit yang berisiko,” katanya.
Baca: WHO isytihar cacar monyet darurat kesihatan global
Singapura kesan satu kes import cacar monyet dari UK
Semua perkara itu antara langkah awal KKM susulan pengisytiharan cacar monyet atau monkeypox sebagai Darurat Kesihatan Awam Yang Menjadi Kebimbangan Antarabangsa (PHEIC).
Situasi di Malaysia

Sehingga Sabtu lalu, sejumlah sembilan kes disyaki monkeypox sudah dinotifikasikan kepada KKM.
Bagaimanapun, jelas Khairy, semua kes berkenaan disahkan negatif.
Bagi pakar kesihatan awam, ramai menyeru langkah kawalan lebih ketat di pintu sempadan.
Dan langkah itu, kata Khairy antara dilakukan dengan survelan di pintu masuk antarabangsa negara (PMA) dipertingkatkan.
Katanya, ini dilakukan dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), syarikat penerbangan dan agensi berkaitan termasuk Malaysian Airlines Holding Berhad (MAHB) serta bekerjasama dengan beberapa kementerian dan badan bukan kerajaan (NGO).
“Sehingga Sabtu lalu, pihak MySejahtera sudah mengeluarkan amaran kesihatan monkeypox (Health Alert Monkeypox) kepada 531,630 pengembara yang direkodkan tiba dari negara melaporkan kes jangkitan berkenaan.
“Semua pengembara bukan warganegara hendaklah mengisi pas kembara (travellers card) dalam aplikasi MySejahtera dan pengembara yang tiba dari negara melaporkan monkeypox akan menerima ‘pop-up’ mesej kesihatan setiap hari melalui MySejahtera untuk mengingatkan mereka supaya memantau gejala jangkitan dan status kesihatan,” ujarnya.
Sementara itu, jelas Khairy, KKM turut mewujudkan survelan sentinel di beberapa klinik swasta dan kerajaan bagi memantau kejadian penyakit ruam atau lesi kulit; mempertingkatkan kapasiti makmal yang boleh menjalankan ujian pengesanan virus monkeypox dengan penambahan dua makmal menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 12 makmal (lapan makmal kerajaan dan empat makmal swasta),” jelasnya.
Khairy dalam kenyataan itu juga memaklumkan yang kes jangkitan monkeypox boleh pulih tanpa sebarang rawatan.
“Rawatan yang diberikan adalah bagi merawat gejala yang dialami oleh pesakit,” katanya dan penting mereka yang bergejala mengelakkan daripada kontak dengan orang lain bagi mengelakkan penularan jangkitan.

Cara jangkitan
Ini kerana virus berkenaan boleh disebarkan melalui sentuhan langsung dengan ruam atau lesi yang terjadi pada kulit, sama ada lesi yang baharu atau sudah menjadi kuping (scab), ataupun cairan daripada lesi terbabit.
“Transmisi virus juga boleh berlaku melalui sentuhan langsung dengan haiwan yang dijangkiti, sama ada dengan cara digigit atau dicakar oleh haiwan terbabit, atau dengan cara memakan ataupun menggunakan hasil produk haiwan berkenaan.
“Sentuhan dengan peralatan yang tercemar dengan lesi kulit ataupun cairannya juga boleh menyebabkan jangkitan dan kes monkeypox boleh menularkan jangkitan kepada individu lain dalam tempoh sehari sebelum terjadinya lesi pada kulit, sehingga 21 hari daripada bermulanya gejala atau sehingga lesi pada kulit menjadi kuping (scab) dan pesakit tidak lagi bergejala,” kata Khairy.

