BILA disebut Langkawi, semua orang kenal daerah kepulauan yang terletak dalam negeri Kedah ini. Pulau yang terkenal dengan kisah Mahsuri ini mempunyai pelbagai kisah legenda.

Pernahkah anda menaiki kereta kabel dan Sky Bridge ketika berkunjung ke Langkawi? Kereta kabel Langkawi ini membawa pelancong ke puncak Gunung Mat Chincang setinggi 713 meter. Di puncak gunung ini pengunjung disajikan dengan panorama indah pulau Langkawi dan Laut Andaman.

Namun, tahukah anda Gunung Mat Chincang itu sendiri mempunyai pelbagai kisah menarik. Mengikut legenda, daripada kisah gunung inilah dikatakan banyak tempat di Langkawi mendapat namanya.

Gunung Mat Chincang, salah satu destinasi popular di Langkawi.

Diceritakan pada zaman dahulu, ada sebuah kampung yang dihuni keluarga gergasi. Antara penduduk di kampung itu ialah Mat Chincang dan Mat Raya. Keduanya bersahabat baik.

Kisahnya bermula apabila anak perempuan Mat Raya hendak ditunangkan dengan anak lelaki Mat Chincang. Namun, kenduri pertunangan itu bertukar menjadi pertengkaran apabila anak lelaki Mat Chincang dikatakan mempunyai hubungan dengan anak dara lain.

Hari kenduri yang sepatutnya diraikan bertukar menjadi huru hara. Mat Chincang dan Mat Raya telah bergaduh. Legenda menyebut daripada pergaduhan ini, ia telah menghasilkan nama-nama kawasan di sekitar Langkawi.

Sebuah bekas memasak air telah pecah dalam pergaduhan itu. Tempat air panas itu tumpah menjadi sebuah perigi air panas di kawasan yang kini disebut sebagai Ayer Hangat.

Peralatan yang digunakan semasa memasak juga habis berterbangan. Salah satu belanga besar telah tercampak dan pecah di tempat yang kini dikenali sebagai Kampung Belanga Pecah. Dan kuah yang mengalir daripada belanga pecah itu sampai di sebuah kawasan yang kini dikenali sebagai Pekan Kuah. Manakala tempat di mana kuah gulai itu meresap dikenali sebagai Kisap.

Selain itu, cincin pertunangan anak mereka telah dibuang lalu jatuh ke sebuah kawasan yang kini dikenali sebagai Tanjung Cincin.

Kawasan Ayer Hangat.
Simbolik Belanga Pecah daripada kisah pergaduhan dua gergasi.

Apa terjadi pada Mat Chinchang dan Mat Raya?

Pertengkaran antara kedua-dua gergasi ini tidak nampak tanda akan surut, malah keadaan semakin tidak terkawal. Lalu datang Mat Sawar, gergasi ketiga yang cuba menjadi orang tengah untuk meleraikan pergaduhan mereka.

Ada versi mengatakan Mat Chincang dan Mat Raya telah bertukar menjadi gunung sewaktu pertengkaran mereka sedang berada di kemuncak. Ada pula versi menyebut kedua-dua gergasi ini telah sedar akan kesalahan mereka dan kerosakan yang ditimbulkan, lalu bertukar menjadi gunung untuk menebus kesalahan mereka.

Mat Chincang bertukar menjadi gunung yang hari ini dikenali sebagai Gunung Mat Chincang, iaitu tempat terletaknya Sky Bridge yang popular di Langkawi. Manakala Mat Raya bertukar menjadi Gunung Raya.

Manakala Mat Sawar yang menjadi orang tengah untuk meleraikan mereka berdua bertukar menjadi Bukit Sawar yang terletak di antara kedua gunung tersebut. Dikatakan Bukit Sawar harus berada di tengah-tengah kedua gunung ini untuk menjamin agar keadaan sentiasa aman dan tidak lagi timbul pertelingkahan antara kedua-dua gergasi itu.

Arca simbolik pergaduhan Mat Raya dan Mat Chinchang.
Kedudukan Bukit Sawar yang berada di tengah-tengah antara Gunung Mat Chiincang dan Gunung Raya.

Begitulah kisah legenda Gunung Mat Chincang ini yang secara tidak langsung mempunyai kesan sejarah yang penting juga dalam kisah di Pulau Langkawi ini.

Gunung Mat Chincang adalah gunung kedua tertinggi di Langkawi dan merupakan gunung tertua di Asia Tenggara, serta dinobatkan sebagai Tapak Bersejarah Dunia oleh UNESCO.

______

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram