PARTI Bangsa Malaysia (PBM) disifatkan tidak layak untuk menjadi parti komponen di dalam Barisan Nasional (BN), kata Exco Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Shahrul Nasrun Kamarudin.

Beliau berkata, pucuk pimpinan BN perlu mengambil kira tahap kesetiaan dan setiakawan Bakal Presiden PBM, Datuk Zuraida Kamaruddin yang kerap melompat parti.

Shahrul Nasrun

“Saya nak bertanya kepada Yang Berhormat (YB) Datuk Zuraida, sudi ke nak bersama dengan parti yang Datuk sudah cemuh dan hina sewaktu dalam PKR dan Bersatu dahulu? Sekarang bila dah dalam PBM nak bersama dengan BN pula.

“Parti yang mana satu ni sebenarnya yang YB nak? Tak penat ke asyik melompat-lompat parti mencari dahan nak bergayut? Jangan lupa YB dahulu dipilih oleh rakyat di Ampang untuk menjadi wakil rakyat dan bukan wakil katak”, kata Shahrul Nasrun dalam satu kenyataan kepada media hari ini.

Tambahnya, BN perlu berhati-hati dengan gerakan Ahli Parlimen Ampang itu yang telah memberi janji palsu kepada rakyat di Ampang menerusi janji-janji manifesto Pakatan Harapan (PH) dalam PRU14 dahulu.

“Apa yang YB lakukan? Jangan sesekali menuding jari pada PH hanya kerana YB sudah khianat.

BERITA BERKAITAN PBM sudah hantar permohonan, BN belum jawab

YB juga merupakan Pemimpin PKR ketika itu yang menggubal “Manifesto Scam” tersebut dan YB juga bukan hanya khianat kepada PH tetapi mandat rakyat sebenarnya,” katanya.

Justeru Shahrul Nasrun berkata, Zuraida dan PBM tidak layak untuk dipertimbangkan sebagai anggota komponen BN dan pada masa yang sama menyarankan agar mereka menyertai pakatan baharu yang sedang dirangka oleh DAP, PKR dan Amanah iaitu “Khemah Besar”.

“Kenapa hendak bersama dengan BN? Kenapa tidak bersama “khemah besar”? Adakah kerana YB sudah melihat bagaimana kepercayaan rakyat sudah kembali kepada BN di PRN Melaka dan Johor, kemudian barulah terhegeh-hegeh hendak bersama BN,” tambahnya.

Sambil mengucapkan terima kasih kepada Zuraida kerana ingin menjadi komponen BN, Shahrul Nasrun mengingatkan BN khususnya UMNO sudah serik dengan pengkhianatan wakil-wakil rakyat seperti Zuraida selepas PRU14 lalu.

“Minta maaf, kami sudah serik untuk bersama dengan pengkhianat rakyat seperti YB, cukuplah kami bersama dalam keluarga BN ini dan lakukan yang terbaik buat rakyat Malaysia, terima kasih PBM, maaf kami sudah ada keluarga sendiri”, kata Shahrul Nasrun.

Julai lalu, PBM telah menghantar surat permohonan untuk menjadi salah satu parti komponen BN tetapi sehingga kini belum menerima sebarang maklum balas daripada pucuk pimpinan BN secara rasmi.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram