PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob merakamkan ucapan tahniah atas kejayaan skuad badminton negara yang merampas semula pingat emas dalam acara berpasukan campuran Sukan Komanwel Birmingham, awal pagi tadi.

Dalam hantaran di Facebook, Perdana Menteri turut berharap kejayaan dilakar skuad badminton itu akan menjadi inspirasi kepada kontinjen Malaysia untuk terus memburu kegemilangan di temasya berkenaan.

Pada masa sama, Ismail Sabri turut menyifatkan pencapaian itu meletakkan negara di landasan tepat memburu sasaran enam pingat emas dalam Sukan Komanwel Birmingham.

“Kontinjen Malaysia terus mempamerkan aksi cemerlang di temasya Sukan Komanwel 2022 dengan meraih pingat emas ketiga.

“Pingat emas tersebut diperoleh oleh skuad badminton negara melalui acara berpasukan campuran setelah menewaskan pasukan India.

“Setinggi-tinggi tahniah saya ucapkan kepada skuad badminton yang berjaya mengharumkan nama negara di persada dunia,” katanya dalam hantaran tersebut.

Baca artikel berkaitan: Badminton berpasukan campuran Malaysia tebus semula emas, tewaskan India 3-1

Pasukan badminton campuran negara berjaya menebus semula kekalahan 1-3 kepada India pada edisi Gold Coast 2018, selepas menumbangkan juara bertahan itu 3-1, pada perlawanan akhir Sukan Komanwel Birmingham 2022 di Birmingham awal pagi tadi (waktu Malaysia).

Bermain di National Exhibition Centre Hall Five yang hampir dipenuhi penonton, pemenang pingat gangsa Olimpik Tokyo 2020 Aaron Chia-Soh Wooi Yik memulakan kemenangan dengan mengatasi pasangan beregu utama India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty.

Goh Jin Wei yang turun pada perlawanan kedua pula layak mendapat pujian, kerana walaupun ketinggalan 1-8 kepada bekas juara dunia Pusarla V. Sidhu, pemain profesional negara itu berjaya menyamakan kedudukan 18-18, sebelum tewas 22-20.

Pada set kedua, Jin Wei terus memberikan persaingan sengit kepada Pusarla, sebelum tewas 17-21 dan membolehkan India menyamakan kedudukan 1-1.

Pemain perseorangan utama kebangsaan Ng Tze Yong kemudiannya membolehkan Malaysia mendahului semula pada perlawanan ketiga, selepas beliau menang perlawanan sengit tiga set ketika berhadapan bekas pemain nombor satu dunia Kidambi Srikanth.

Membawa semangat kemenangan Tze Yong itu, pasangan beregu wanita negara Pearly Tan-M.Thinaah memastikan emas keempat bagi acara itu menjadi milik negara selepas edisi Melbourne 2006, New Delhi 2010 dan Glasgow 2014, dengan mengalahkan pasangan Treesa Jolly-Gayatri Gopichand Pullela, 21-18, 21-17.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram