Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein. GAMBAR: Abd Razak Aid

MENTERI Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menegaskan sesiapa yang salah dalam isu melibatkan kapal tempur pesisir (LCS) milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) tetap bersalah.

Justeru, beliau menegaskan tiada siapa yang harus terlepas daripada hukuman sekiranya terdapat unsur-unsur salah guna kuasa.

Malah, Hishammuddin mengulangi pendirian bahawa tiada sebarang kompromi diambil jika terdapat bukti penyelewengan berlaku.

“Sebelum ini saya sebut, semalam saya tegaskan dan hari ini saya nyatakan sekali lagi – tiada siapa yang harus terlepas daripada hukuman akibat salah laku dalam projek LCS sebelum ini.

“Yang salah tetap salah. Saya percaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan ambil tindakan. Itu saya serah kepada pihak berkuasa. Tiada kompromi!,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Dalam hantaran sama, Hishammuddin turut memuat naik video menegaskan beliau tetap memikul tanggungjawab menangani isu tersebut walaupun projek berkenaan dilaksanakan bukan sewaktu beliau berperanan selaku Menteri Pertahanan.

“Kebetulan sayalah Menteri Pertahanan hari ini, dan saya pikul tanggungjawab untuk menanganinya.

Baca artikel berkaitan: Perolehan LCS kritikal pelihara kedaulatan, keselamatan – TLDM

“Namun, ini tak bermakna mereka yang sebelum saya, tidak semestinya ahli politik (sahaja) tetapi syarikat berkenaan, kalau ada penyelewengan, salah guna kuasa, ada unsur-unsur rasuah, saya percaya SPRM telah, sedang dan akan mengambil tindakan.

“Itu saya serah kepada pihak berkuasa,” katanya.

Semalam, Hishammuddin menyifatkan kenyataan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu projek LCS dihentikan hanya berkisar kepada pertimbangan politik semata-mata.

Malah, kata beliau, kenyataan itu bercanggah dengan keputusan Pakatan Harapan ketika menjadi kerajaan dulu yang mahukan projek itu diteruskan.

Semasa sidang media di hari terakhir persidangan Dewan Rakyat kelmarin, Anwar yang juga Presiden PKR menegaskan beliau yakin dalam isu tersebut ia bukan saja melibatkan ketirisan malah wujud penyelewengan.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram