Detik gemilang atlet gimrama negara.FOTO BERNAMA

GIMNAS muda negara, Ng Joe Ee melengkapkan sasaran enam pingat emas kontinjen negara apabila memenangi disiplin riben pada temasya Sukan Komanwel Birmingham 2022 hari ini.

Lebih manis, kejayaan Joe Ee dilakar dalam tempoh 90 minit selepas dia memenangi emas bagi disiplin bola yang merupakan pingat emas kelima kontinjen negara.

Kejayaan atlet berusia 16 tahun di Arena Birmingham itu mengejutkan banyak pihak selepas dia tidak diletakkan sebagai pilihan utama memenangi emas.

Untuk rekod, ini adalah penampilan pertama atlet gimrama itu di temasya Sukan Komanwel.

Sebelum ini, kontinjen negara meraih emas menerusi atlet angkat berat, Mohamad Aniq Kasdan (55kg) dan Muhamad Bidin (61kg), pasukan campuran badminton dan juara dunia powerlifting, Bonnie Bunyau Gustin.

Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengucapkan tahniah susulan kejayaan Joe Ee yang menurutnya membanggakan negara.

“Tahniah atlet gimrama negara, Ng Joe Ee yang berjaya merangkul dua pingat emas dalam saingan disiplin bola dan riben di Sukan Komanwel Birmingham 2022!

“Anda kebanggaan Keluarga Malaysia!,” ciapnya di akaun Twitter miliknya.