OLEH: DATUK SAIFUL BAHAR ARSHAD
NEGARA dikejutkan dengan isu Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) menengking Ketua Operasi Imigresen KLIA, Ketua Penolong Penguasa (KPP 48), James Lee.
Kejadian berlaku pada 3 Ogos lalu, antara jam 8.40 ke 9.40 pagi di Bilik Orang Kenamaan (VIP) KLIA. Insiden bermula apabila tidak ada seorang pun pegawai imigresen ditempatkan di bilik VIP tersebut.
Datuk Seri Mohd. Shafiq Abdullah (KPPA) di dalam perjalanan menaiki pesawat MH0752 ke Vietnam dengan menggunakan Bilik Orang Kenamaan.
Memang menjadi kebiasaan pegawai imigresen tidak ditempatkan di bilik VIP. Mereka ditempatkan di kaunter biasa kecuali dimaklumkan ada orang kenamaan akan mengunakan laluan berkenaan.
Apabila tiada pegawai imigresen di Bilik VIP, Ketua Pegawai Operasi Imigresen, James Lee telah dipanggil ke bilik VIP. Pertuduhan yang dibuat terhadap KPPA ialah KPPA dikatakan telah menengking James Lee dan diminta berdiri tegak di khalayak ramai.
KPPA juga dituduh mengeluarkan kata-kata ; “Do you know, who am I ? I am KPPA.”
Mengikut pertuduhan yang dibuat, insiden ini menyebabkan pegawai imigresen berkenaan merasakan dirinya dibuli dan dimalukan di hadapan orang ramai.
Untuk makluman, pertuduhan yang dikemukakan hanyalah kata-kata kesat dan keras terhadap James Lee. Tiada sebarang ugutan ataupun pukulan fizikal terhadap pegawai berkenan.
Walau bagaimanapun berikutan insiden ini telah diviralkan dengan begitu meluas di sosial media, Perdana Menteri mengambil pendirian agar insiden ini disiasat oleh satu jawatankuasa khas yang akan dipengerusikan oleh Peguam Negara, memandangkan ia melibatkan pegawai kedua tertinggi didalam perkhidmatan awam.
Baca artikel berkaitan: Peguam Negara ketuai jawatankuasa siasatan ‘insiden tengking’ KLIA – KSN
Zaman sudah berubah dan berbeza. Di zaman internet, Facebook dan TikTok ini, berita-berita sensasi tersebar luas dangan begitu pantas.
Ini menyebabkan kerajaan ataupun Government of the Day perlu memperlihatkan good governance atau pun tadbir urus yang baik dan profesional.
Dalam Bahasa Inggeris; “The core elements of good governance include transparency, integrity, lawfulness, sound policy, participations, accountability, responsiveness and the absence of corruption and wrongdoing.”
Maka, adalah amat tepat keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengarahkan Ketua Setiausaha Negara menubuhkan satu jawatankuasa bagi menyiasat insiden membabitkan KPPA yang didakwa mengeluarkan kata-kata kesat terhadap seorang pegawai imigresen.
Perdana Menteri kata, kita perlu berlaku adil kepada yang mengadu dan yang diadu. Penjawat awam adalah amat penting kepada kerajaan sedia ada.
Penjawat awam kini berjumlah seramai 1.6 juta orang. Mereka amat tertekan ketika di zaman pemerintahan Kerajaan Pakatan Harapan.
Di dalam manifesto PRU-14, PH telah berjanji akan memberi penghormatan kepada sektor perkhidmatan awam tetapi kerajaan 22 bulan PH telah menekan, mengecam dan mengugut, malahan memecat serta membuang penjawat awam.
Ketika PH memerintah, Ahli-Ahli Parlimen DAP juga telah mendesak kerajaan supaya mengurangkan jumlah penjawat awam kerana mereka merasakan penjawat awam sebagai membebankan kewangan negara.
Bertambah parah, apabila di zaman Kerajaan PH memerintah, ramai penjawat awam termasuk beberapa ketua setiausaha telah dipindahkan dan dihantar ke cold storage, kerana PH menuduh mereka mensabotaj Kerajaan PH dan sebagai punca mengapa agenda transformasi mereka lambat dan gagal dilaksanakan.
Ismail Sabri mengambil pendekatan yang berbeza. Perdana Menteri mengambil berat kebajikan dan membawa pendekatan mesra rakyat dengan penjawat awam.
Perdana Menteri telah beberapa kali menyantuni penjawat awam dengan mengadakan pelbagai perjumpaan bersama termasuk mengadakan majlis berbuka puasa pada bulan Ramadan lalu dan mengadakan pertemuan dengan barisan kepimpinan tertinggi CUEPACS pada 13 Jun 2022.
Dengan penjawat awam kini berjumlah 1.3 juta orang, dicampur seorang isteri ataupun suami, bermakna warga penjawat awam kini berjumlah 2.6 juta orang.
Ini merupakan satu jumlah pengundi yang amat besar ketika negara akan berhadapan dengan Pilihanrl Raya Umum ke-15.
Sesungguhnya zaman KSU, TKSU ataupun Ketua Pengarah Jabatan memaki atau menengking pegawai-pegawai bawahan mereka sudah berlalu.
Di zaman dan abad ini, Government of the Day ataupun kerajaan memerlukan pegawai tinggi yang berhemah, profesional, baik serta merendah diri ketika berhadapan dengan penjawat awam mahupun ketika berurusan dengan rakyat.
Kerajaan Keluarga Malaysia Perdana Menteri memperlihatkan ciri-ciri ini, good governance ataupun kerajaan yang mengamalkan takbir urus yang baik, seharusnya diberikan pujian.
Penulis merupakan penganalisis politik dan sosial
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

