18 individu diisytihar muflis setiap hari, elak jangan terjebak

Dari Penulis

LEBIH separuh daripada 17,599 individu yang diisyhtihar muflis dari tahun 2020 sehingga Mei tahun ini (2022) adalah kaum Melayu. Jumlah individu Melayu yang muflis ialah 58.3 peratus atau 10,267 daripada jumlah keseluruhan.

Kaum Cina pula menduduki tempat kedua dengan 4,447, diikuti kaum India 1,321 individu. Sejumlah 1,516 ialah rakyat Malaysia daripada kaum-kaum lain. Warga asing pula berjumlah 48 individu.

Daripada segi pecahan jantina, jumlah lelaki yang muflis ialah 73.7 peratus atau 12,970 daripada jumlah keseluruhan. Wanita berjumlah 4,607 kes sementara 22 kes melibatkan ‘jantina yang tidak diketahui’.

Pecahan umur pula, kelompok yang paling ramai muflis ialah di antara 35 hingga 44 tahun sebanyak 6,681 kes, diikuti umur 45 hingga 54 tahun dengan 4,819 kes. Kelompok 55 tahun ke atas pula berjumlah 2,823 individu. Sebanyak 59 kes pula melibatkan kelompok yang tidak dipastikan kategori umur.

Golongan muda berumur 25 tahun ke bawah juga tidak terlepas terjerumus ke dalam kancah muflis. Jumlah yang dicatatkan ialah 46 orang. Kemungkinannya mereka baru bekerja setelah tamat pengajian di kolej atau universiti.

Daripada segi negeri pula, Selangor menjadi ‘juara’ jumlah penduduk muflis, merekodkan 4,164 individu. Ini diikuti oleh Wilayah Persekutuan dengan 2,203 individu serta Johor dan Sabah, masing-masing dengan 1,987 dan 1,642 kes.

Perincian individu muflis ini didedahkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, dalam satu jawapan bertulis di parlimen baru-baru ini.

Kenapa orang Melayu begitu ramai muflis berbanding bangsa asing? Adakah kerana mereka lebih gemar menjalani gaya hidup mewah di luar kemampuan sehingga terbelit dengan hutang?

Hutang dengan institusi kewangan dikenal pasti sebagai salah satu punca utama individu diisytihar muflis. Pinjaman peribadi menduduki carta teratas, iaitu sebanyak 42 peratus. Ini diikuti 15 peratus pinjaman kenderaan dan 13 peratus pinjaman perniagaan.

Memang seronok meminjam, terutama pinjaman peribadi. Kadang kala sengaja meminjam tanpa sebab munasabah atau tidak jelas tujuan sebenar meminjam. Ertinya meminjam sekadar seronok tanpa keperluan hakiki.

Apabila memperoleh selonggok wang, mata pun jadi kelam. Mulalah berbelanja walau pun untuk barang tidak perlu atau bukan keutamaan. Tidak lama wang pun habis. Meminjam mudah, hendak membayar balik siksa. Kerap kali penjamin turut menjadi mangsa. Apabila hutang menimbun, mulalah sangkut bayaran bulanan. Lama kelamaan hutang tertunggak semakin banyak dan tidak mampu membayar lagi, ditambah dengan pelbagai komitmen lain yang

perlu dilangsai. Institusi kewangan memberi amaran demi amaran. Akhirnya tindakan muflis dikenakan.

Begitu juga dengan pinjaman perniagaan. Jika perniagaan berjaya dan berkembang, pinjaman yang dibuat berbaloi dan dapat dibayar balik. Jika gagal, bukan sahaja perniagaan ditutup tetapi beban membayar pinjaman tetap membelenggu.

Kerap kali kegagalan ini kerana salah urus atau pinjaman yang diperoleh diseleweng untuk tujuan lain. Biasanya pinjaman perniagaan berskala besar. Membayar balik bebannya lebih berat. Jika perniagaan gagal, dan tidak ada lagi duit pusingan, memang tidak mampu membayar pinjaman. Bersedialah menghadapi tindakan muflis.

Walau pun fenomena muflis ini merangkumi semua kaum, ketara sekali jumlah orang Melayu jauh melebihi kaum lain. Fakta ini wajar diberi perhatian serius dengan menyelidiki punca sebenar kenapa perkara ini terjadi.

Satu lagi punca yang sering dikaitkan dengan muflis ialah kad kredit. Pada masa ini memiliki kad kredit dianggap perlu bagi memudahkan urusah jual beli. Namun ia hanya menepati matlamat tersebut jika penggunaannya diurus dan dikawal dengan baik.

Namun senario yang kerap berlaku ialah apabila seronok membeli secara kredit, kawalan perbelanjaan diabaikan. Berbelanja sesuka hati sehingga tahap maksimum, malah melebihi had kredit.

Bayaran bil bulanan pula hanya sekadar jumlah minimum. Jumlah pokok tidak bergerak. Faedah juga perlu dibayar. Bebanan semakin menyiksa setiap bulan sehingga sampai peringkat tidak mampu membayar. Akhirnya berdepan tidakan muflis.

Jika ada anggapan jumlah yang muflis sehingga ini tidak membimbangkan, waspadalah dengan loceng amaran yang dibunyikan oleh Jabatan Insolvensi Malaysia. Menurut jabatan berkenaan, sejumlah 18 individu diisytihar muflis setiap hari dalam lima bulan pertama tahun ini.

Andai kata trend ini berterusan, bayangkan berapa ramai akan muflis dalam seminggu, sebulan atau setahun. Berapa ramai pula bakal muflis dalam tempuh lima atau 10 akan datang? Sebelum siatuasi bertambah parah, ia wajar dikekang.

Perlu diingat, Jabatan Insolvensi sebelum ini telah mengubah Akta Insolvensi bagi meningkatkan jumlah boleh diisytihar muflis daripada RM50,000 kepada RM10,000. Jika tidak dilakukan perubahan sehingga sekali ganda ini, besar kemungkinan angka mereka yang tersangkut dalam jaring muflis lebih ramai.

Kerana itu langkah tegas mesti diambil mengatasi masalah ini. Institusi kewangan jangan sewenang meluluskan pinjaman atau kad kredit tanpa menilai kemampuan pemohon. Orang ramai perlu sedar muflis bukan kehidupan menyeronokkan, tetapi menyusahkan. Ingat sebelum kena.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Remaja 17 tahun maut Honda Wave terlibat kemalangan dengan lori

SEORANG remaja berusia 17 tahun maut selepas motosikal jenis Honda Wave yang ditunggang terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori...

More Articles Like This