Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berucap pada Protes ‘Mana Kapal LCS’ di hadapan Kompleks beli-belah Sogo, Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

POLIS akan memanggil 13 individu bagi memberi keterangan berhubung perhimpunan ‘Mana Kapal Tempur Pesisir (LCS)’ yang diadakan di hadapan sebuah pusat beli-belah di Jalan Tuanku Abdul Rahman, hari ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Noor Dellhan Yahaya berkata ia susulan kertas siasatan yang dibuka berkaitan perhimpunan berkenaan di bawah Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 kerana mengadakan perhimpunan tanpa notis.

“Kita (polis) mendapati lebih kurang 60 individu terdiri daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO), mahasiswa, ahli parti politik serta beberapa individu yang dikenal pasti dan belum dikenal pasti telah berhimpun di kawasan terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata individu berkenaan telah mengadakan perhimpunan sambil memegang beberapa plakad dan kain rentang bertulis antaranya ‘Keselamatan Negara Terancam Kesiagaan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Terjejas’, ‘H20 Letak Jawatan’ dan ‘Siasat Di Mana Kapal’.

Sebahagian daripada peserta berhimpun pada Protes ‘Mana Kapal LCS’ di hadapan Kompleks beli-belah Sogo, Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

Perhimpunan yang bermula pada 2 petang itu berlangsung secara aman dengan kehadiran kira-kira 100 anggota daripada Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur bagi mengawal situasi serta lalu lintas di lokasi terbabit dan semua yang hadir beredar sejam kemudian.

— BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram