Muktamar Pas kali ini amat penting ketika semua siap sedia hadapi PRU-15 – Muhyiddin

Dari Penulis

MUKTAMAR Tahunan Pas kali ini amat penting kerana berlangsung dalam suasana semua parti politik termasuk Perikatan Nasional (PN) bersiap sedia untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang dijangka diadakan pada tahun ini.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, justeru, menjadi harapannya agar muktamar ini bukan sahaja medan bagi memperkukuhkan Pas tetapi juga memperkuatkan PN khususnya dalam menghadapi pilihan raya umum nanti.

Menersui hantaran di Facebook hari ini, beliau juga mengucapkan tahniah kepada Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang di atas ucapan dasar yang selari dengan matlamat perjuangan PN untuk membentuk sebuah kerajaan yang prihatin, berintegiriti dan bebas rasuah ke arah mewujudkan Malaysia Sejahtera.

“Saya turut terharu mendengar komitmen dan iltizam berterusan Pas bagi memperkukuhkan ikatan persaudaraan dalam PN seterusnya menetapkan hala tuju yang lebih jelas bagi menghadapi pilihan raya.

“Sebagai rakan dalam komponen PN, Bersatu menghormati setiap pandangan yang dikemukakan oleh saf kepimpinan Pas dan para perwakilan demi kebaikan bersama,” katanya.

Sementara itu, bercakap kepada media selepas majlis tersebut, Muhyiddin berkata, PN bersedia menerima apa sahaja keputusan pimpinan gabungan parti itu termasuk tidak bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) pada PRU-15.

Beliau berkata, ini kerana pihaknya bersifat terbuka serta mengambil kira pendirian PAS sebagai parti komponen PN yang tidak mahu kerjasama dengan PH pada pilihan raya berkenaan.

Baca: Tiada kerjasama babit perkara dosa, rasuah dan salah laku – Abdul Hadi

Muhyiddin Yassin menghadiri Majlis Perasmian Muktamar Tahunan Pas di Alor Setar hari ini./Gambar FB muhyiddin Yassin.

Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berkata malah sekiranya keadaan itu berlaku, PN sudah bersedia untuk menghadapi kebarangkalian pertembungan tiga penjuru atau lebih daripada itu, pada PRU15.

“Perkara itu (Pas tolak kerjasama dengan PH) untuk kami nak menunjukkan sikap keterbukaan tetapi apapun kami faham hakikatnya kemungkinan mereka (Pas) tidak setuju tetapi apapun situasi, PN ada pendirian dan apa keputusan yang kami akan buat ataupun telah dibuat adalah berdasarkan musyawarah secara bersama. 

“Oleh itu, apa pun situasi atau keadaan, kami akan terima. Kemungkinan besar pilihan raya ini akan melihat pertembungan tiga penjuru atau empat penjuru namun kami sudah bersedia,” katanya seperti dilapor BERNAMA.

Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata malah PN mempunyai strategi tertentu untuk memastikan kejayaan bagi gabungan parti itu dalam PRU15 nanti.

Sebelum ini, Muhyiddin dilapor berkata idea kerjasama PN dengan pembangkang disuarakan kerana mahu menyelamatkan negara agar tidak terus terjerumus ke dalam kancah kleptokrasi, rasuah dan salah guna kuasa dan berpendapat kepentingan negara lebih penting berbanding kepentingan parti.

Mengenai cadangan penggunaan logo Pas di Kelantan, Terengganu dan Kedah pada PRU15, beliau berkata perkara itu akan dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi PN yang dijangka diadakan minggu depan.

“Kemungkinan ada strategi tertentu yang sesuai dan kami akan ambil kira. Jadi kalau itulah usul yang dikemukakan, apapun keputusan akan dibuat oleh Mesyuarat Majlis Tertinggi PN,” katanya.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Dua anggota MALBATT cedera akibat serangan udara di Lubnan

DUA anggota Batalion Malaysia (MALBATT) 850-13 cedera ringan selepas konvoi logistik yang mereka sertai terkena kesan sampingan daripada satu...

More Articles Like This