ATAS sambutan luar biasa daripada peminat kumpulan terkenal Ungu, pihak penganjur Star Planet mengumumkan bakal menambah satu malam lagi konsert ulang tahun mereka di Malaysia pada 18 November hadapan.

“Tidak sampai sejam setelah penjualan tiket dilancarkan pada 30 Ogos lalu, lebih 85 peratus tiket habis dijual.

“Kami amat berbesar hati dan mengharapkan dengan penambahan persembahan har kedua Ungu ini dapat menggembirakan semua peminat-peminat Ungu.

“Pembelian tiket boleh dibuat secara ‘online’ bermula 7 September, pukul 12 tengahari.” kata penganjur.

Ditubuhkan pada 1996, kumpulan rock popular Indonesia tahun 90-an, Ungu terdiri daripada vokalis Pasha, pemain gitar Enda dan Oncy, pemain bass Makki, dan pemain drum Rowman.

Lagu hit Ungu termasuk Demi Waktu, Tercipta Untukku, Andai Ku Tahu, Kekasih Gelapku dan banyak lagi.

Pada 2005, album Ungu Melayang telah mencapai kejayaan besar dan diterima dengan baik yang meletakkan mereka sebagai superstar antarabangsa dan mencapai populariti yang luar biasa di Indonesia serta benua Asia.

Mereka dicalonkan bagi Kumpulan Muzik Terbaik dalam Anugerah Muzik Asia MTV pada 2006 dengan rakaman lagu single asal Demi Waktu daripada album Melayang.

Album studio ketujuh mereka berjudul Mozaik yang dikeluarkan pada 2015 telah terjual lebih daripada 200,000 salinan dan memenangi Anugerah Album Platinum.

Konsert yang dianjurkan oleh Star Planet, Ungu’s 26th Anniversary Live in Malaysia akan diadakan pada 18 dan 19 November 2022, 8.30 malam bertempat di STAR Convention & Exhibition Centre, Menara PGRM di Kuala Lumpur.

Peminat boleh mendapatkan tiket di www.ticket2u.com.my dan ticket dijual pada harga RM188, RM238, RM328, RM388, RM458 dan RM598 (tertakluk kepada bayaran pemprosesan tiket RM4).

Semua pembeli tiket VVIP akan menerima poster bertandatangan kumpulan Ungu dan berpeluang bergambar mereka!

Untuk maklumat lanjut, layari www.starplanet.com.my atau hubungi +603 9223 3667.