SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menarik balik Darjah Kebesaran Negeri Selangor yang dikurniakan kepada Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datin Seri Rosmah Mansor berkuat kuasa hari ini.
Penarikan balik darjah kebesaran dikurniakan kepada Najib itu adalah melibatkan Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (SPMS) Kelas Pertama membawa gelaran Datuk Seri pada tahun 2004 dan Datuk Paduka Mahkota Selangor (DPMS) Kelas Kedua membawa gelaran Datuk pada tahun 1992.
Pada masa sama, gelaran Datin Paduka Seri yang dikurniakan kepada isteri Najib iaitu Rosmah pada tahun 2005 juga ditarik balik.
Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Haris Kasim berkata, penarikan balik darjah kebesaran itu selepas Sultan Selangor berkenan mempengerusikan Mesyuarat Khas Dewan Diraja Selangor.
Menurut beliau, baginda berkenan menarik balik Darjah Kebesaran Negeri Selangor itu setelah berunding dengan Ahli-Ahli Dewan Diraja Selangor.
Mengulas mengenai penarikan darjah kebesaran kepada Najib, Haris memaklumkan, ia berdasarkan sabitan dan hukuman yang telah dijatuhkan terhadap Ahli Parlimen Pekan itu.
“Beliau telah didakwa di Mahkamah Tinggi atas beberapa pertuduhan melibatkan kes salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram ke atas dana SRC International Sdn. Bhd.
“Pada 23 Ogos 2022, Mahkamah Persekutuan telah mengekalkan sabitan dan hukuman terhadap beliau yang telah diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum ini.
“Penarikan balik dan pembatalan keahlian ini selaras dengan kuasa prerogatif baginda di bawah Perkara XXXVIII dan Perkara XXXIX Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 serta Statut Darjah Kebesaran yang berkaitan dan konvensi yang diamalkan di Selangor,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Baca artikel berkaitan: Eksekutif diingatkan dukung penuh prinsip kebebasan kehakiman – Sultan Selangor
Mengulas lanjut, Haris memaklumkan penarikan balik darjah kebesaran kepada Rosmah melibatkan keahlian isteri Najib itu sebagai penyandang Darjah Seri Paduka Mahkota Selangor (SPMS) Kelas Pertama pada tahun 2005.
“Beliau telah didakwa di mahkamah atas tiga pertuduhan yang melibatkan kesalahan meminta dan menerima rasuah. Pada 1 September 2022, Mahkamah Tinggi telah mensabitkan dan menjatuhkan hukuman terhadap beliau atas semua pertuduhan yang dihadapkan kepadanya.
“Maka dengan ini, atas sabitan dan hukuman yang telah dijatuhkan terhadap beliau, keahlian sebagai penyandang darjah SPMS adalah ditarik balik dan dibatalkan,” jelas beliau.
Pasangan itu juga telah dilucutkan gelaran mereka di Negeri Sembilan pada 2018.
Bagaimanapun, Najib masih mempunyai sembilan darjah kebesaran dari Pahang, Perak, Melaka, Kedah, Pulau Pinang, Perlis, Sabah dan Sarawak.
Rosmah pula mempunyai gelaran dari Pahang, Melaka, Kedah, Sabah dan Sarawak, yang membawa gelaran Datuk Seri atau yang setaraf dengannya.
Dalam kenyataan sama, Haris turut memberitahu darjah kebesaran yang dikurniakan kepada Mohd. Arif Abd Rahman membawa gelaran Datuk turut ditarik balik.
Beliau berkata, Mohd. Arif telah dikurniakan Darjah Kebesaran Datuk – Sultan Sharafuddin Idris Shah (DSIS) yang membawa gelaran Datuk pada tahun 2005; Darjah Kebesaran Setia – Sultan Sharafuddin Idris Shah (SIS) Kelas Ketiga pada tahun 2003 dan Darjah Kebesaran Ahli Mahkota Selangor(AMS) Kelas Keempat pada tahun 2001.
“Beliau disabitkan dan dijatuhi hukuman di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan rasuah dan pada 23 Januari 2021, Mahkamah Tinggi telah mengekalkan sabitan dan hukuman terhadapnya yang telah diputuskan oleh Mahkamah Sesyen sebelum ini.
“Maka dengan ini, atas sabitan dan hukuman yang telah dijatuhkan terhadap beliau, keahliannya ditarik balik dan dibatalkan berkuat kuasa pada 12 September,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

