SELEPAS melarikan diri daripada tahanan rumah awal bulan ini, ahli perniagaan Malaysia, Leonard Glenn Francis atau lebih dikenali sebagai ‘Fat Leonard’ telah diberkas di Venezuela.

Fat Leonard mengaku bersalah dalam skandal rasuah besar melibatkan Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) telah memotong gelang kaki Sistem Penentududukan Global (GPS) yang dipakai di rumahnya di San Diego, AS pada 4 September lalu.

Menurut laporan NBCnews.com, Fat Leonard yang mengaku bersalah pada 2015 kerana merasuah pegawai Tentera Laut AS melibatkan skandal AS$35 juta ditahan pihak berkuasa Venezuela.

Ahli perniagaan itu difahamkan ditangkap sewaktu cuba menaiki pesawat untuk menuju ke negara lain.

Ketua Pengarah Interpol Venezuela, Carlos Garate Rondon dalam satu kenyataan memaklumkan, Francis yang berasal dari Pulau Pinang telah memasuki negara itu dari Mexico dengan singgah di Cuba.

Rondon berkata, Francis difahamkan mahu menuju ke Rusia.

Ahli perniagaan itu telah ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Simon Bolivar dan akan kekal dalam tahanan Venezuela sementara pihak berkuasa AS menyelesaikan butiran ekstradisinya kembali ke AS.

Sebelum ini, Perkhidmatan Siasatan Jenayah Tentera Laut AS menawarkan hadiah AS$40,000 (RM183,000) untuk maklumat yang membawa kepada penangkapannya.

Baca artikel berkaitan: Ahli perniagaan Malaysia lari daripada tahanan rumah di AS

Peguam Francis, Devin Burstein enggan memberi sebarang komen. Jurucakap Pejabat Peguam Negara AS tidak memberi maklum balas segera ketika diminta mengulas tangkapan itu.

Menurut Castillo, Francis kini ditahan pihak berkuasa di Venezuela dan Jabatan Keadilan AS akan mengetuai usaha mengekstradisi lelaki itu.

AS dan Venezuela memiliki perjanjian ekstradisi yang terhad, namun tidak pasti sama ada ketegangan antara kedua-dua negara bakal menyulitkan proses berkenaan.

Berita penahanan Francis dilaporkan sehari sebelum tarikh untuk Francis dijatuhkan hukuman atas kesalahan rasuah dan konspirasi di mahkamah persekutuan San Diego.

Selama lebih 10 tahun, Francis mendalangi pelbagai skim rasuah, di mana pegawai Tentera Laut AS diberi hadiah, wang tunai dan seks, apabila mereka membantu perniagaan perkhidmatan perkapalan Francis, yang mengawal pelabuhan di seluruh Asia Tenggara.

Skim itu merompak sekurang-kurangnya AS$35 juta (RM160 juta) wang pembayar cukai dan membawa kepada sabitan hampir 36 pegawai tentera laut AS.

Francis membuat perjanjian rayuan dengan bersetuju menyerahkan AS$35 juta itu kepada kerajaan AS. Dia membayar AS$5 juta beberapa tahun lalu, sebelum melarikan diri dan masih berhutang AS$30 juta kepada kerajaan.

Sebelum ini, Francis ditahan di sebuah hotel di San Diego dalam satu serbuan pihak berkuasa persekutuan pada 2013. Selepas membuat pengakuan bersalah dan berdepan beberapa masalah kesihatan termasuk kanser buah pinggang, Francis dibebaskan atas faktor kesihatan dan dikenakan tahanan rumah sejak 2018.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram