TEKONG darat (depan) ditahan polis di Kilometer 6.1 Lebuhraya Utara Selatan, di Bukit Kayu Hitam, hari ini. kerana menyeludup 12 PATI. FOTO PDRM

UPAH sebanyak RM1,800 sudah cukup membuatkan seorang lelaki sanggup menanggung risiko menjadi ‘tekong darat’ membawa 12 pendatang asing tanpa izin (PATI) dari sempadan Malaysia-Thailand, di Bukit Kayu Hitam, Kedah.

Suspek, 33, dari Bagan Serai, Perak kemudian menyewa sebuah van Toyota Hiace untuk membawa kesemua PATI berkenaan ke selatan negeri ini.

Bagaimanapun belum sempat dia menyempurnakan tugasnya, dia ditahan polis di Kilometer 6.1 Lebuhraya Utara Selatan, di Bukit Kayu Hitam, hari ini.

Menurut Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan, serbuan dilakukan Asisten Superintendan Saifol Hasnol Saleh Hudin bersama sepasukan anggota Ronda Cegah Jenayah (RCJ) dari Balai Polis Bukit Kayu Hitam pada pukul 5.50 pagi.

Katanya, hasil pemeriksaan menemui sembilan lelaki warga Thailand berusia antara 15 hingga 40 tahun manakala tiga wanita Myanmar berusia antara 24 hingga 26 tahun.

“Hasil siasatan mendapati kesemua Pati berkenaan dipercayai masuk ke negara ini pada pukul 9 malam tadi.

“Mereka kemudian dibawa dua lelaki masing-masing warga Thailand dan Myanmar yang bertindak sebagai pemandu arah dari Danok, Thailand ke Bukit Kayu Hitam melalui kawasan Bukit Tangga, di sini,” katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Rodzi dalam laporan itu berkata, selepas melepasi sempadan negara ini, kesemua Pati berkenaan menunggu di dalam hutan dan dua lelaki yang bertindak sebagai pemandu arah itu masuk semula ke Thailand melalui jalan yang sama.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati, kesemua Pati berkenaan membayar wang sebanyak RM5,000 seorang kepada ejen lelaki Myanmar di negara mereka.

“Pemeriksaan juga mendapati, pemandu warga tempatan itu bekerja sebagai pemandu lori dan menerima bayaran sebanyak RM150 untuk setiap Pati.

“Van Toyota Hiace itu disewanya di Taiping, Perak sebanyak RM300 untuk mengambil Pati dari Bukit Kayu Hitam ke Bukit Mertajam, Pulau Pinang,” katanya.

Menurutnya, suspek dipercayai berurusan dengan seorang lelaki tempatan di Kulim yang akan mengambil Pati itu dan upah hanya dibayar selepas selesai menghantar kesemua Pati berkenaan.

Beliau berkata, ini adalah kali kedua suspek melakukan perbuatan itu yang mana kali pertama dilakukannya pada pertengahan bulan ini.

“Berikutan itu, kita merampas Toyota Hiace bersama anak kunci dan alat kawalan jauh serta dua telefon bimbit untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang (ATIPSOM) 2007 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.