PERNAH dengar bila ada sesuatu majlis, beberapa petua dilakukan untuk ‘menolak’ hujan? Ia antara petua-petua lama yang diamalkan oleh orang Melayu.

Sejak zaman dahulu, masyarakat Melayu mempunyai beberapa petua untuk ‘menangguh’ hujan agar sesuatu acara yang dilakukan berjalan lancar. Biasanya ia dibuat untuk kenduri kahwin.

Antara petua popular ialah melemparkan pakaian pengantin ke atas bumbung. Ia diikuti dengan beberapa bacaan ayat suci atau jampi serapah. Meskipun sering membuahkan hasil, tetapi ia sebenarnya lebih kepada sekadar kepercayaan sahaja kerana tiada bukti kukuh mengapa ia boleh terjadi.

Selain daripada amalan tersebut, ada juga petua lain yang diamalkan untuk mengelakkan hujan ‘mengganggu’ majlis. Antaranya ialah merebus anak lesung, menegakkan penyapu lidi di pintu dapur (dalam keadaan hulu penyapu di bawah), memasang pelita di bawah dapur, meletakkan cili merah di dalam batu lesung dan petua yang paling ‘tragis’ ialah salah seorang daripada adik-beradik pengantin tidak boleh mandi sepanjang hari ketika majlis berlangsung.

Sukar untuk ditafsirkan bagaimana petua-petua ini berfungsi kerana tiada penjelasan secara saintifik mengenainya.

Berbeza pula dengan konteks bomoh atau pawang hujan, yang biasanya melakukan upacara memohon hajat kepada Maha Pencipta untuk mengalihkan awan mendung.

Menurut pengamal tradisional yang pernah kami temu bual dahulu, pawang hujan mempunyai beberapa cara yang diamalkan untuk mengalihkan awan hujan, bergantung kepada sesuatu acara atau majlis.

Sekiranya majlis yang akan diadakan ialah kenduri kahwin, bacaan menggunakan ayat Al-Quran seperti surah Al-Fatihah dan surah Al-Insyiraah akan dibaca di setiap penjuru khemah. Ia diikuti dengan ritual simbolik menabur garam atau ‘merenjis’ sapu tangan berserta niat mengalihkan awan hujan.

Jika majlis berlangsung di tempat terbuka pula seperti perlawanan bola sepak, upacara ini akan bermula di tengah-tengah padang. Seterusnya bacaan dilakukan sehingga ke sebelah kanan tiang gol.

Semua upacara ini hanya dilakukan sebelum berlangsungnya sesuatu acara atau majlis. Tidak ada aturan yang jelas ke mana hujan tersebut dialihkan, tetapi ia dikatakan bergantung kepada niat individu yang melakukannya.

Dari sudut sains pula, awan mendung dikatakan boleh diubah atau dialihkan. Saintis telah menemui kaedah baru untuk mengalihkan awan mendung dengan menggunakan aliran ion (dicetuskan oleh perangkat yang disebut ionizer). Penemuan tersebut dilakukan oleh seorang pengkaji dari Rusia, Aleksandr Chizhevsky.

Awan mendung mengandungi cas negatif, dikatakan boleh dialihkan dengan aliran cas yang sama. Selain itu, aliran ion juga dikatakan boleh memindahkan awan mendung ke lapisan atas atmosfera, di mana awan tersebut akan bubar dengan sendirinya kerana perubahan suhu.

Sekumpulan saintis yang diketuai oleh Chizhevsky telah melakukan satu eksperimen dahulu di sebuah kawasan lapang di Moscow. Kawasan yang berkeluasan lima kilometer persegi itu pada mulanya dipenuhi dengan awan yang mendung – sama seperti yang diramalkan oleh jabatan kaji cuaca. Tetapi setelah alat pengaliran ion dipasang, awan mendung tersebut telah beransur-ansur bergerak ke tempat lain.

Berkenaan dengan pawang hujan, walaupun ia tidak dapat dibuktikan secara saintifik – hanya sekadar logik, namun ramai tidak menafikan aktiviti spiritual seperti itu juga mampu mempengaruhi perubahan cuaca.

Harus diingat, perkara-perkara seperti ini bukannya bermaksud kita ingin menolak hujan, tetapi sekadar mengalihkannya ke tempat lain. Hujan ialah anugerah Tuhan yang harus disyukuri.

_____

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram