SALAH satu artifak yang masih menjadi kajian dan sebutan ialah Phaistos Disc, sebuah inskripsi yang hebat diperkatakan dalam sejarah manusia. Banyak ukiran bertulis pada cakera itu masih menimbulkan perdebatan di kalangan pengkaji dan pelbagai teori dikaitkan dengannya.

Phaistos Disc dijumpai secara tidak sengaja di bawah timbunan runtuhan Phaistos, Tamadun Minoan kuno yang terletak di Pulau Crete, iaitu sebuah pulau terbesar di Greek.

Artifak tersebut ditemui buat pertama kali oleh seorang ahli arkeologi Itali, Luigi Pernier ketika melakukan kerja-kerja ekskavasi di lokasi terbabit pada tahun 1908.

Saat ia dibawa keluar daripada runtuhan, artifak bertarikh 1,700 Sebelum Masihi itu masih dalam keadaan baik dan sempurna. Bentuknya bulat dan nipis menyerupai cakera. Terbuat dari tanah liat yang dibakar dan berwarna keemasan. Ukurannya dikirakan 16 sentimeter diameter serta memiliki berat sekitar 380 gram.

Pada permukaan cakera, terdapat sebanyak 243 berupa simbol pelik. Ia diukir dengan kemas dan tersusun, mengelilingi bulatan cakera sehingga memenuhi ruang di kedua-dua bahagian depan dan belakang.

Setiap simbol itu pula beragam bentuknya. Ada yang menyerupai kucing, helang, panah, kepala dengan rambut berdiri dan orang berjalan. Apakah sebenarnya maksud di sebalik ukiran itu?

Phaistos Disc, cakera purba yang dipenuhi lakaran simbol aneh.
Cakera purba ini ditemui di bawah timbunan tamadun kuno di Pulau Crete di Greek.

Selama puluhan tahun sarjana Eropah berusaha keras untuk menyelesaikan misteri teks pada Phaistos Disc ini. Tetapi, tiada seorang pun yang dapat memahami simbol-simbol tersebut. Sehinggalah seorang ilmuwan dari Austria bernama Dr. Herbert Zebisch,  menawarkan diri untuk merungkaikan rahsia cakera purba itu.

Dr. Zebisch memilih untuk menggunakan pendekatan yang berbeza daripada sebelumnya iaitu dengan mewujudkan program komputer. Menggunakan bantuan komputer, beliau memasukkan simbol-simbol dari cakera itu dan kemudian membandingkannya dengan pelbagai jenis bahasa.

Satu-satunya bahasa yang memberi respons kepada pengumpulan maklumat itu ialah Proto-Georgian, iaitu sistem tulisan piktografi yang wujud sebelum penciptaan abjad.

Dr. Zebisch kemudian memutuskan untuk belajar bahasa Georgia kuno, tetapi sayangnya beliau meninggal dunia pada tahun 1993 tanpa sempat menghabiskan pengajiannya.

Pada 1 November 2008,  bertempat di British Royal Academy of Art, ahli matematik Georgia akhirnya mengesahkan hal tersebut kepada komuniti saintifik. Mereka memberitahu bahawa teks di atas cakera tanah liat itu telah ditulis dalam bahasa Georgia kuno menggunakan dialek Kartvelian.

Lalu apakah yang diterangkan dalam teks berbentuk simbol itu dan bagaimana ia boleh sampai ke Pulau Crete?

Ahli akademik dan ahli bahasa terkenal Georgia, Gia Kvashilava, menghuraikan rahsia Phaistos Disc. Setelah diselidik, ukiran pada cakera itu rupa-rupanya mewakili keseluruhan perkataan. Bait-bait daripada simbol itu ternyata merupakan doa yang ditulis untuk ditujukan kepada dewi suci. Apa yang pelik, bagaimana teks Georgia muncul di Crete?

Ada pendapat menyatakan bahawa sekitar 4,000 tahun dahulu, suku-suku kuno Georgia tinggal di pantai Mediterranean, sebelum pendudukan suku Indo-Eropah di wilayah tersebut. Suku Indo-Eropah tidak sama dengan mana-mana budaya suku kaum yang pernah tinggal di situ kerana mereka banyak meminjam perkataan daripada suku sebelumnya.

Berdasarkan kajian, terdapat 5,000 perkataan dalam bahasa Yunani yang tidak dapat diterangkan ke dalam bahasa Indo-Eropah. Walhal, bahasa Yunani juga merupakan bahasa Indo-Eropah. Sebagai alternatif lain, mereka memadankannya dengan dialek Kartvelian dan ternyata perkataan-perkataan itu berasal dari Kartvelian.

Para ilmuwan mendapati, Crete merupakan wilayah tempat tinggal bagi kebanyakan golongan pengamal agama kuno. Golongan ini dikatakan mempunyai skrip suci dan kriptografi, iaitu kod rahsia yang membantu seseorang untuk memahami bahasa kuno. Ada juga teori mengatakan bahawa teks keagamaan itu telah disalin ke dalam dialek bahasa Kartvelian lalu diukir pada permukaan kepingan tanah liat.

____

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram