SEBELUM saintis berjaya merungkai fungsi sebenar peredaran darah di dalam tubuh, beberapa orang cendekiawan kuno telah mengeluarkan beberapa teori mengenainya. Bagaimanapun, kebanyakan teori itu lebih bersifat hipotesis dan spekulasi semata-mata.

Sekitar tahun 1600 Sebelum Masihi iaitu pada zaman peradaban Mesir kuno, manusia telah pun mula mengenali beberapa jenis organ dan pembuluh darah dalam tubuh manusia.

Pada abad ke-5 Sebelum Masihi, ilmu fisiologi ini telah mencapai sedikit kemajuan apabila Hippokrates berjaya memahami ilmu dasar seperti sistem rangka dan otot serta fungsi ginjal. Fakta-fakta ini kemudiannya dikumpulkan pula oleh seorang lagi ilmuwan kuno iaitu Galen.

Galen telah melakukan eksperimen ke atas haiwan seperti anjing. Bagaimanapun, kesimpulan yang dibuat oleh Galen ‘kurang menyenangkan’ dunia sains ketika itu apabila beliau mengatakan sistem anatomi manusia dan anjing adalah sama.

Ibnu Sina.

Di sebelah blok Timur, Ibnu Sina menjadi orang pertama yang menolak teori Galen. Baginya, fisiologi manusia dan anjing terlalu banyak perbezaan. Beliau juga melakukan beberapa siri pembedahan dan dapat mengenal pasti fungsi-fungsi organ dalam tubuh manusia seperti ginjal, hempedu, hati dan jantung.

Pada abad ke-13, Ibnu Nafis muncul dan berjaya menghuraikan sistem fisiologi dalam tubuh manusia secara tepat.

Ibnu Nafis telah merungkai sistem fisiologi manusia secara keseluruhan seperti denyut nadi, sistem rangka, otot tubuh, pancaindera, perut, hempedu dan termasuklah penghasilan susu badan.

Sistem anatomi itu turut digambarkan dalam bentuk lukisan diagram. Secara automatiknya, beliau berjaya menolak doktrin Galen yang penuh dengan kemusykilan.

Ibnu Nafis, saintis pertama yang menghuraikan sistem peredaran darah dan kardiovaskular tubuh manusia.

Ibnu Nafis (1213 – 1288) adalah saintis pertama yang menghuraikan tentang sistem peredaran darah atau sistem kardiovaskular dalam tubuh manusia secara tepat pada abad ke-13 Masihi.

Kira-kira 400 tahun selepas itu, seorang ilmuwan Inggeris, William Harvey (1578 – 1657) telah memperbaiki serta melengkapkan kajian Ibnu Nafis ini dan membawa pengetahuan tersebut ke dunia Barat dan menjadi satu cabang penting dalam dunia perubatan moden.

Sekalipun sistem kompleks yang terdapat dalam tubuh manusia telah berjaya dihuraikan oleh saintis dunia, tetapi pada dasarnya Al-Quran telah pun menerangkan perkara yang sama sejak abad ke-7 Masihi lagi.

Dalam surah An-Nahl ayat 66, Allah SWT menerangkan, penghasilan susu badan bermula dari dalam perut yang mana sumber kandungannya terdiri daripada kotoran dan darah.

Firman Allah yang bermaksud, “Dan sesungguhnya bagi kamu di dalam binatang ternak itu benar-benar terdapat pengajaran. Kami memberi minum kalian dari apa yang (ada) di dalam perut-perutnya antara kotoran dan darah (berupa) susu yang bersih (yang) mudah bagi orang-orang yang meminumnya.” (Surah An-Nahl; ayat 66)

Ayat di atas menerangkan bahawa penghasilan susu badan secara asasnya bermula pada bahagian perut. Dengan kata lain, zat dan khasiat dari proses penghadaman makanan menjadi sumber utama penghasilan susu badan.

Dalam konteks sains moden, tindak balas kimia yang berlaku dalam usus perut dari sumber pencernaan makanan akan disalurkan ke saluran darah melalui sistem yang kompleks. Aliran darah akan membawa bahan-bahan ini ke seluruh organ-organ tubuh badan, termasuklah kelenjar mammary yang mengeluarkan susu.

Dalam bahasa mudah, kita dapat fahami bahawa bahan-bahan tertentu daripada sumber makanan akan meresap masuk melalui saluran-saluran di dinding usus perut.

Bahan-bahan ini kemudiannya akan melarut dan dibawa oleh aliran darah ke seluruh organ di dalam tubuh manusia untuk terus berfungsi secara sistematik.

Ternyata, keterangan di dalam Al-Quran mengenai sistem penghasilan susu badan atau secara tepatnya sistem fisiologi tubuh mempunyai persamaan dengan apa yang dibuktikan oleh sains moden.

_____

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram