SALAH satu pulau yang menjadi destinasi pelancongan popular di Malaysia ialah Pulau Tioman yang terletak dalam daerah Rompin di Pahang.

Khazanah alam semulajadinya menjadi tarikan utama pelancong dari dalam dan luar negara bertandang ke pulau ini.

Namun, ramai yang tidak tahu suatu ketika dahulu pulau ini dipercayai pernah menjadi satu pelabuhan yang sibuk sekitar abad ke- 11 Masihi sebelum munculnya Melaka.

Berdasarkan sumber-sumber bertulis dan penyelidikan arkeologi mendapati, pulau ini adalah pelabuhan purba yang pernah menjadi persinggahan kapal-kapal dagang dari China Selatan, Asia Tenggara, India, Timur Tengah dan Eropah.

Kami pernah menemubual Profesor Emeritus Datuk Dr. Nik Hassan Suhaimi Nik Abdul Rahman yang ketika itu merupakan Felo Penyelidik Utama Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) UKM tentang sejarah pulau ini.

Menurutnya, kewujudan Pulau Tioman sudah mula dikenali pelaut dan pedagang khususnya dari laluan perdagangan kuno dari Laut China Selatan sejak seribu tahun yang lalu.

Antara bukti yang masih boleh dilihat lagi pada hari ini adalah beberapa puncak gunung dari batuan granit setinggi 1000 meter yang terdapat di pulau ini. Difahamkan, ia menjadi panduan bagi para pelaut dan kapal-kapal dagang sejak dahulu sehingga kini.

Pulau Tioman pernah menjadi pelabuhan sibuk pada abad ke 11.
Kedudukan Pulau Tioman di Laut China Selatan menjadikan ia pelabuhan untuk kapal-kapal dagang pada zaman dahulu.

Selain itu, kewujudan pelabuhan purba di Pulau Tioman turut dikaitkan dengan penemuan artifak purba iaitu seramik. Berdasarkan rekod penyelidikan arkeologi, jumpaan pertama artifak ini adalah pada tahun 1962.

Terdapat lebih daripada 40 seramik ditemui oleh kumpulan ekspedisi penyelidik dari Universiti Malaya di Gua Serau, berdekatan dengan Teluk Nipah.

Hasil ekskavasi lanjut yang dilakukan pada tahun 1970 hingga 1973, ditemui artifak dalam kuantiti yang banyak di sekitar lokasi yang sama. Kemudian, pada tahun 1975, pecahan-pecahan seramik turut ditemui di dua lokasi berasingan iaitu bahagian selatan Kampung Tekek dan di Pantai Juara.

Pada tahun 1979, lebih banyak seramik yang masih dalam keadaan sempurna dijumpai. Dianggarkan sebanyak sembilan seramik lengkap berjaya ditemui manakala 104 lagi dibeli daripada penduduk tempatan yang masih menyimpannya.

Berdasarkan penemuan seramik di pulau ini, kebanyakannya berasal dari wilayah guangdong, China Selatan sewaktu pemerintahan Dinasti Song Utara (960-1126 Masihi), Dinasti Yuan di Jiangsu, Zhejiang dan wilayah Fujian dan bahagian China Selatan. Manakala, terdapat juga beberapa seramik yang dijumpai turut berasal dari Thailand, Vietnam dan Eropah.      

Jelas Dr. Nik Hassan, seramik adalah barang dagangan yang penting satu ketika dahulu. Ia berfungsi sebagai barang tukaran bagi pedagang-pedagang dahulu dengan hasil hutan atau hasil laut di Asia Tenggara. Selain itu, ia juga dijadikan sebagai hadiah untuk pemerintah-pemerintah di kawasan ini.

Katanya lagi, seramik yang di temui di Pulau Tioman  boleh menjadi petunjuk penting terutamanya dari aspek kronologi sejarah dan pola perdagangan awal di Semenanjung Malaysia.

Pulau Tioman.

Secara teorinya, tidak mustahil pulau ini pernah menjadi salah satu rangkaian di antara pelabuhan-pelabuhan utama yang menjadi pilihan pedagang di sepanjang laluan maritim dari Timur hingga Barat.

Selain penemuan artifak seperti seramik, sumber bertulis turut menjadi rujukan bagi mendapatkan bukti kukuh kewujudan pelabuhan purba ini. Antaranya, sumber bertulis arab ‘Akhbar as Sin wal Hind’ yang ditulis pada tahun 1000 Masihi.  Ia menyebut lokasi yang digelar dengan nama Betumah atau Tiyumah (merujuk pada Pulau Tioman).  

Mengikut sumber bertulis dari China, nama pulau ini pernah dinyatakan pada carta Wubeizhi yang dicetak pada tahun 1630. Berdasarkan isi kandungannya, Pulau Tioman digelar dengan nama ‘Zhumashan’ – diambil sempena nama tali yang diperbuat daripada tanaman asli iaitu ‘Rami’ yang digunakan untuk mengikat pada kapal layar.

Berdasarkan maklumat daripada data-data arkeologi dan sumber bertulis, jelas menunjukkan Pulau Tioman adalah satu pelabuhan persinggahan penting satu ketika dahulu.

Ia amat sesuai bagi kapal-kapal dagang berlabuh sebelum meneruskan perjalanan ke Champa (Kemboja), Vietnam dan seterusnya ke China.

_____

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram