Bertemakan ‘Sempurnakan Hijrah Cinta’, Munawwareen melancarkan koleksi Munawwareen yang melambangkan transisi baharu jenama muslimah terkemuka ini.

Menurut pengasas dan Pengarah Urusan Munawwareen Holdings Sdn. Bhd., Datin Hajah Aliza Abu Bakar, koleksi terbaharu wanita (Hawa) terdiri daripada telekung, jubah, abaya dan kelengkapan solat, manakala koleksi lelaki (Rijal) menampilkan kurta dan jubah.

Mengutamakan pakaian patuh syariah, asas setiap rekaan Munawwareen adalah memelihara aurat wanita dengan sempurna. Justeru, variasi pakaian jenama ini direka dengan potongan longgar dengan pemilihan fabrik yang tidak menampakkan bentuk badan pemakai.

“Terdapat banyak pakaian Muslimah yang dipasarkan tetapi konsep ‘Muslimah sejati’ itu tidak sepenuhnya dipraktikkan. Munawwareen mahu dikenali dengan identiti fesyen Islamik yang berusaha mengikuti landasan Syariah.

“Sekarang kita dapat lihat lebih ramai wanita bijak berfesyen meskipun menutup aurat dengan sempurna. Jadi Munawwareen ingin menjadi sebahagian daripada gerakan fesyen Islamik yang sentiasa menampilkan rekaan-rekaan segar serta mengikut arus semasa tanpa mengenepikan kewajipan menurut aurat,” jelasnya ketika ditemui pada pertunjukan fesyen koleksi Munawwareen di Hotel Shangri-La baru-baru ini.

Sebanyak 21 rekaan dengan jumlah 36 pakaian dipentaskan dan kesemuanya akan dilancarkan secara berperingkat bermula Oktober 2022 sehingga Mac 2023.

“Tujuan pertunjukan fesyen ini diadakan adalah bagi meraikan perjalanan baharu Munawwareen kepada semua. Walaupun telah dua tahun beroperasi, tetapi akibat pandemik Covid-19 yang melanda dunia, banyak perkara terpaksa ditangguhkan. Selepas membuat penstrukturan semula, ini adalah waktu terbaik untuk melaksanakan kembali perancangan yang telah dibuat.

“Saya percaya setiap yang berlaku ada hikmahnya. Alhamdulillah, biarpun perjalanan Munawwareen ini tertangguh sementara, saya yakin perancangan yang dikemaskini ini adalah lebih baik,” ulas Datin Hajah Aliza.

Munawwareen turut melancarkan lagu rasmi jenama berjudul Munawwareen, ciptaan sepenuhnya Hafiz Hamidun dan didendangkan penyanyi hebat, Ernie Zakri.

Antara koleksi yang dipentaskan telah mula dipasarkan dan boleh didapati di laman web rasmi di www.munawwareen.com.my atau Shopee Munawwareen HQ, dan juga pembelian di butik yang akan membuka pintu secara rasmi di Putrajaya pertengahan Oktober 2022.

Foto : Munawwareen