Sasuke Outlet X Syria Care lancar Kempen ‘Warm Their Winter’ – Jangan biarkan mereka mati kesejukan, bantu pelarian Syria hadapi musim sejuk melampau

Dari Penulis

Bukan sahaja berhadapan dengan peperangan, musim sejuk yang bakal melanda menjadi mimpi ngeri rakyat Syria dalam menempuh hari-hari mendatang. Berita kematian pelarian kanak-kanak maut akibat cuaca sejuk cukup menyesakkan dada.

Atas dasar tanggungjawab, butik jualan baju bundle terkenal, Sasuke Outlet menerusi kerjasama dengan Syria Care melancarkan Kempen ‘Warm Their Winter’ dalam usaha mengumpulkan kelengkapan baju musim sejuk bagi membantu pelarian Syria menghadapi musim sejuk.

Bukan hanya menerima sumbangan orang ramai, namun Sasuke Outlet mengadakan promosi beli satu percuma satu, khas bagi pelanggan yang menyertai kempen ini.

Nurul Suhaida, Pengarah NCT Supply & Trading Sdn Bhd bersama Nurdieana Mohd Mardzi, Pengarah Urusan Strategik Syria Care.

Menurut Pengarah NCT Supply & Trading Sdn Bhd, Nurul Suhaida Abu Sopian, kempen kali ini lebih istimewa kerana pelanggan dapat memilih sendiri pakaian yang ingin disumbangkan kepada penerima.

“Sasuke Outlet berbesar hati untuk sertai misi kemanusiaan kerana kami ada kelengkapan musim sejuk yang diperlukan di Syria dan platform untuk menjadi hub perhubungan antara masyarakat dan Syria Care.

“Antara cawangan yang boleh dikunjungi untuk sama-sama membantu ialah Danau Kota, Kajang dan Bangi. Setakat ini kami menerima 70 helai pakaian musim sejuk. Jika di luar kawasan, pembelian boleh dilakukan secara atas talian.

“Program membeli dan beramal ini lebih istimewa kerana pelanggan akan memilih sendiri pakaian yang disukai dan kemudian ia akan disumbangkan kepada kempen. Kami juga menyediakan sebuah kad ucapan untuk dikirimkan kepada penerima supaya dapat mengubat sedikit kesedihan mereka,” ulasnya ketika ditemui.

Sementara itu Ketua Pegawai Strategik Syria Care, Nurdieana Mohd Mardzi turut berkongsi pengalaman sewaktu berada di kem pelarian Syria Care di sana.

“Alhamdulillah setakat ini, rakyat Malaysia sangat memahami dan ambil berat pakaian bagaimana yang sesuai untuk kondisi pelarian di sana.

“Berdasarkan pengalaman saya, pelarian Syria tinggal di dalam khemah yang sangat daif. Dan ada kalanya tanda awal untuk musim sejuk akan berlakunya hujan, banjir dan ribut. Jadi selalunya khemah akan runtuh.

“Waktu salji turun pula suhu berada pada bawah paras beku, bawah 10 darjah selsius. Sedangkan kami yang berpakaian lengkap untuk musim sejuk pun terasa kedinginannya, bayangkan pula kanak-kanak di sana hanya berkaki ayam dan hanya berbaju nipis. Keadaan mereka sangat menyedihkan.

“Kami minta sedikit ihsan daripada rakyat Malaysia agar turut sama membantu dan meringankan beban pelarian Syria ” kongsinya.

Mereka yang berminat boleh melakukan pembelian di Sasuke Outlet di Danau Kota, Seksyen 9 Bangi dan Bandar Kajang bermula 2 Oktober sehingga 8 Oktober 2022.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Zulhijjah menyisih ego, membebas jiwa

Oleh : Pegawai Pejabat Zakat, Wakaf, Infaq (ZAWAIN) dan Pensyarah Sambilan Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh Universiti Sains Malaysia...

More Articles Like This