Bersempena Oktober, Bulan Kesedaran Kanser, hub fesyen terkemuka, Variante melancarkan tiga rekaan eksklusif hijab bagi meningkatkan lagi kesedaran masyarakat dan sekaligus menyuntik semangat pejuang kanser.

Bertemakan ‘By survivors, for survivors’, kerjasama dengan Pink Unity di bawah National Cancer Society of Malaysia (NCSM) dilihat merupakan peluang terbaik untuk menyumbang kepada masyarakat dan pejuang kanser khususnya.

Menurut pengasas dan Pengarah Urusan dan Kreatif Variante, Leslie Variyan, Pink Carnation menjadi lambang kasih sayang yang diterjemah ke dalam rekaan hijab kali ini.

“Kami memilih untuk bekerjasama dengan Pink Unity kerana mahu bersama-sama dalam perjuangan ini dan mengubah dunia.

“Saya sendiri kehilangan bapa dan kakak ipar akibat kanser. Apabila seseorang disahkan mengidap penyakit ini, sistem sokongan sangat penting bagi membantu mereka mengharungi ujian.

“Dan saya melihat Pink Unity sebagai satu sistem sokongan yang kuat bagi pejuang kanser. Kanser juga bukanlah ‘hukuman mati’. Sokongan yang betul akan mengubah cara pemikiran dan penerimaan.

“Sempena Bulan Kesedaran Kanser, rekaan tiga hijab berbentuk bawal berlatarkan Pink Carnation sebagai inspirasi. Pink Carnation mewakili kasih sayang, kesyukuran dan penghargaan. Kasih sayang ini yang kami mahu sebarkan kepada masyarakat,” jelasnya ketika ditemui pada majlis Fashion Fights Cancer di Hotel Majestic, Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, Pengerusi Pink Unity, Lena Abdullah merakamkan penghargaan atas usahasama bersama Variante dan berharap agar lebih ramai yang cakna akan kanser.

“Lebih 10 tahun Variante membantu Pink Unity dan saya masih ingat, Leslie merupakan insan pertama yang menaja pakaian dan baju kurung untuk pejuang kanser sempena Islamic Fesyen Show. Waktu itu kami tiada dana yang cukup untuk menyediakan lebih 20 busana dan Variante tampil dan sediakan secara percuma.

“Kita tidak akan mati kerana kanser kerana ia boleh dirawat. Kanser adalah anugerah dari Allah, kita akan menjadi insan yang lebih baik. Buat rawatan dan jangan tunggu sehingga tahap terakhir.

“Kita kenal tubuh badan kita. Andai ada apa sahaja yang lain dirasai, terus berjumpa doktor. Jangan ambil masa yang lama, terus ambil tindakan,” jelasnya.

Noryn Aziz, Raja Azura dan Zara Zya antara selebriti yang turut hadir memberikan sokongan.

Sempena “Fashion Fights Cancer”, sebahagian hasil jualan tudung dan seleksi pakaian di butik Variante sepanjang Oktober akan disalurkan kepada Pink Unity sebagai tanda sokongan terhadap Bulan Kesedaran Kanser.

Bagi menyatakan sokongan anda buat pejuang kanser, lakukan pembelian di www.variante.com.my

Foto : Variante