AKIBAT penyakit kencing manis yang dihidapi sejak 10 tahun lalu, keadaan kesihatan pelakon senior Roslan Saleh difahamkan semakin uzur.

Menerus perkongsian di Facebook Ustaz Hj Taufik UT yang melawat Roslan atau Pak Lan di kediamannya di Kampung Rantau Panjang, Masjid Tanah, Melaka, memberitahu, mata aktor itu sudah tidak dapat melihat lagi.

“Matanya dah tak boleh melihat kerana saraf matanya telah pun dimatikan oleh doktor.

“Tujuannya untuk menghilangkan rasa sakit dan pening kepala yang dirasai oleh Pak Lan bertahun-tahun lamanya akibat kencing manis yang kritikal.

“Keadaan Pak Lan sangat lemah untuk bergerak ke mana-mana dan dia terpaksa dipakaikan lampin pakai buang setiap hari.

“Kakinya tak boleh bergerak langsung seperti biasa dan dia terpaksa didukung oleh anak bongsunya setiap kali ingin dibawa ke mana-mana,” katanya.

Dalam pada itu, berat badannya juga semakin susut disebabkan hilang selera makan.

“Berat badannya juga susut akibat selera makan yang tak menentu. Mohon sama-sama kita doakan Pak Lan urusannya akan dipermudahkan dan dapat menjalani kehidupan seharian dengan penuh ketabahan dan kesabaran,” ujarnya.

Sebelum ini, Pak Lan mengusahakan perniagaan menjual daging dendeng, sambal lado dan sambal hitam belimbing buluh ketika fasa Perintah Kawalan Pergerakan, dua tahun lalu.

Kesihatannya mula terganggu sekitar 2018 dan sejak daripada itu Pak Lan sudah jarang menerima tawaran lakonan.

Sepanjang aktif berlakon, Pak Lan pernah membintangi banyak drama dan filem antaranya Sembilu 2, Munafik 2 dan Anak Perjanjian Syaitan.