TAHUN 2022 menjadi tahun yang agak sibuk buat kumpulan Wings biarpun sudah 37 tahun unggul di arena muzik tanah air.

Persembahan dan konsert disana sini termasuk di negara jiran Singapura baru-baru ini sempena perlumbaan Formula 1.

Kali ini sekali lagi kumpulan rock itu bakal menggegarkan Zepp Kuala Lumpur. Lokasi bertaraf dunia ini akan menjadi gelanggang Wings bagi siri konsert terakhir untuk tahun ini di Kuala Lumpur.

Naga Kramat menjadi pilihan jenama konsert kerana ia boleh memberi gambaran tentang kehebatan anggota kumpulan Wings apabila berada di pentas yang besar dan gah.

Wings tidak sabar mahu hiburkan peminat di konsert Naga Kramat

Peminat tegar Wings sedia maklum bahawa Naga Kramat adalah tajuk bagi sebuah album Wings yang diterbitkan pada 2002 (album ke-10).

Perjalanan Wings masih teguh bila mereka bakal adakan konsert pada 22 Oktober ini, pukul jam 8.45pm bertempat di Zepp Kuala Lumpur.

“MW Mega Production dan Awie Entertainment merancang lebih kurang dua bulan lepas untuk melaksanakan projek ini. Peringkat awal, agak sukar kerana jadual Wings dan Datuk Awie agak padat.

“Setelah berbincang dengan pihak Awie Entertainment akhirnya tarikh keramat ini dipilih sebagai hari yang terbaik untuk menjayakannya.

“Ini adalah projek sulung MW Mega Production dan pastinya saya meletakkan harapan yang sangat tinggi untuk acara ini. Saya memberikan 110 peratus komitmen bagi memastikan konsert ini berjalan lancar dan berjaya.

“Saya menyeru semua sayap-sayap Wings dan peminat rock tanah air untuk datang dan saksikan sendiri konsert ini. Saya janji ia akan memberikan kepuasan yang maksima untuk anda,”kata Mashar Mokhtar selaku penganjur.

Baru-baru ini pihak MW Mega Productions mengumumkan satu harga baru khas untuk pelajar IPTA/IPTS iaitu RM169.00 bagi tiket kategori berdiri di zon Bujang Senang.

Hal ini dilakukan kerana ada permintaan daripada kalangan pelajar. Pihak MW Mega Production mengambil kira pandangan pelajar yang kurang berkemampuan untuk membeli harga tiket yang tersenarai sebelum ini.

Jadi harga yang ditawarkan ini sangat berbaloi untuk menyaksikan persembahan daripada legenda rock Malaysia.

Syaratnya mudah, mereka hanya perlu menunjukkan bukti kad pelajar semasa membuat tempahan atau belian dan pembelian tiket ini hanya sah melalui ejen Sayap-Sayap Wings (Encik Zul).

Selain itu, pihak penganjur juga sedang mempertimbangkan untuk menambah jumlah kerusi memandangkan permintaan yang agak tinggi untuk kategori tempat duduk.

”Kami akan umumkan dalam masa terdekat di media sosial Naga Kramat dan Sayap-Sayap Wings.

“Ianya masih dalam perbincangan antara kami, Zepp KL dan ticket2u,” jelas Manshar.

Bagi anggota Wings pula, rata-rata mereka sangat teruja untuk beraksi dipentas Zepp KL.

“Sebelum ini kami hanya dengar komen kawan-kawan yang pernah beraksi disana. Kali ini kami sendiri akan beraksi dan sudah tentu kami ingin memberikan yang terbaik buat peminat.

“Perasaan teruja itu pasti ada. Kali pertama nak jejak kaki ke pentas yang selalu dicanang tempat bagus dan bertaraf dunia,” kata Eddie selaku pemain bass Wings.

Sementara itu, Awie masih bertenaga dan ligat beraksi dipentas, suara juga masih padu dan baik seperti zaman muda.

Bila ditanya tentang pilihan lagu untuk konsert Naga Kramat adakah semua lagu-lagu dalam album ini akan dipersembahkan? Awie terus menyangkal, “tidak, bukan semua lagu daripada album Naga Kramat akan dipersembahkan”.

“Mungkin ada lagu daripada album itu, ia hanyalah nama konsert ini sahaja. Yang pastinya saya nak bagi peminat puas dengan pemilihan lagu-lagu ‘best’ buat mereka yang datang.

“Saya ingin mereka mencipta memori setiap kali menyaksikan persembahan atau konsert kami. Mereka datang berbayar dan bukan percuma, saya menghargainya dengan membuat persembahan yang terbaik,” kata Awie.

MW Mega Production menjelaskan bahawa tiket konsert mula dijual secara atas talian di www.ticket2u.com.my/nagakramat dan mendapat sambutan yang bagus.

Memandangkan tempat yang agak terhad, amat digalakkan untuk mereka membuat pembelian seawal mungkin bagi mengelakkan keciciran untuk menyaksikan konsert ini.

Harga tiket mengikut kategori bermula dari RM244 (Bujang Senang), RM274 (Amok), RM364 (Misteri Mimpi Syakila) dan RM574 (Taman Rashidah Utama).

Buat peminat kumpulan Wings dan peminat rock di Malaysia pastinya tidak mahu melepaskan peluang ini. Dengan pasukan produksi yang berpengalaman menguruskan perjalanan konsert ini, pasti sesuatu yang hebat akan dipersembahkan. Memori pasti terpahat dalam jiwa ‘rockers’ semua.