Datuk Seri Bung Moktar Radin bersama isterinya, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad (kanan) ketika hadir perbicaraan kes rasuah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, baru-baru ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan permohonan Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad untuk memindahkan kes beliau supaya didengar bersama permohonan suaminya Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Permohonan itu adalah semakan semula terhadap keputusan Mahkamah Sesyen pada 2 Sept lepas yang memerintahkan Bung Moktar, 64, dan Zizie Izette, 44, membela diri atas tiga pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta membabitkan pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual Berhad.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah membenarkan permohonan Zizie Izette memindahkan kesnya untuk didengar di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Azhar Abdul Hamid selepas peguam M. Athimulan memaklumkan pihak pendakwaan tidak mempunyai sebarang bantahan.

Pada prosiding hari ini, Athimulan turut memaklumkan mahkamah bahawa pihaknya akan memohon untuk menyatukan permohonan semakan Zizie Izette dan Bung Moktar pada 11 Okt ini.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Sophian Zakaria memaklumkan pemberita di luar mahkamah bahawa pihaknya akan berhujah semasa prosiding pendengaran permohonan semakan yang difailkan pasangan tersebut di hadapan Azhar pada 17 Okt ini.

Pada 23 Sept lepas, Sequerah membenarkan permohonan Bung Moktar dan Zizie Izette untuk menangguhkan perbicaraan kes rasuah mereka di Mahkamah Sesyen selepas pasangan itu memfailkan notis usul untuk menyemak semula serta mengetepikan keputusan Hakim Rozina Ayob.

BERITA BERKAITAN Bung Moktar, Zizie bagi keterangan bela diri bermula 23 Sept

Ahli Parlimen Kinabatangan itu dan isterinya memfailkan permohonan secara berasingan pada 19 Sept lepas antara lain memohon Mahkamah Tinggi memanggil serta memeriksa rekod prosiding perbicaraan di Mahkamah Sesyen yang mendengar dan memutuskan agar mereka membela diri terhadap pertuduhan rasuah serta bersubahat.

Mereka memohon Mahkamah Tinggi membatalkan keputusan Mahkamah Sesyen atas alasan hakim yang mendengar perbicaraan terkhilaf dari segi undang-undang dan fakta apabila memutuskan pendakwaan berjaya membuktikan bahawa pemohon menerima suapan daripada dua ejen pelaburan, yang merupakan saksi utama dalam kes itu.

Pada 3 Mei 2019, Bung Moktar didakwa atas dua pertuduhan menerima rasuah sebanyak RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan mendapatkan kelulusan Felcra untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Beliau didakwa menerima rasuah daripada ejen Public Mutual iaitu Madhi Abdul Hamid menerusi Zizie Izette di Public Bank Cawangan Taman Melawati di sini antara 12.30 tengah hari dan 5 petang, 12 Jun 2015.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu juga didakwa menerima wang tunai RM337,500 daripada perunding Unit Amanah, Norhaili Ahmad Mokhtar, di bawah nama Zizie Izette atas sebab dan di tempat sama pada 19 Jun 2015 manakala Zizie Izette berdepan tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara itu di tempat, tarikh dan masa yang sama.

— BERNAMA