“SAYA sokong seratus peratus usaha DCCK membela nasib ibu tunggal, terutama yang masih berjuang bermati-matian untuk mendapatkan nafkah anak-anak. Malangnya bekas suami tidak pernah ambil tahu kehidupan anak-anak yang ditinggalkan, sebaliknya lebih mementingkan diri sendiri dan keluarga barunya. 

“Lebih malang ada isteri baru dan mertua menghalang anak-anak mendapat nafkah, ada juga yang menyorokkan bekas suami supaya tidak beri nafkah. Saya tak kata semua bekas suami lalai tanggungjawab, malah ada yang sangat sayangkan anaknya, sebaliknya dihalang oleh bekas isteri dengan mengenakan pelbagai syarat cekik darah menganiaya suami. 

“Saya tak tuduh, tetapi bercakap dari pengalaman sendiri. Saya kahwin dengan bapa tunggal dua orang anak. Suami saya setiap bulan tak lupa beri nafkah seperti yang dituntut, tetapi tidak pernah memuaskan hati bekas isterinya. Sebaliknya menghalang anaknya berjumpa dengan suami saya.’’ Itu cerita Shela membuka rahsia yang terbuku di hatinya. 

“Kalau saya tahu dari awal perangai bekas isteri suami, Idan, pasti saya tolak lamarannya sebab perangai bekas isterinya menyakitkan hati. Dan suka memburuk-burukkan saya bukan sahaja kepada jiran tetangga, malah kepada saudara mara Idan. 

“Saya bukan goda Idan. Saya kenal Idan ketika dia sudah tiga tahun menduda. Jadi dia tak boleh kata saya kacau suaminya, sebaliknya dia sendiri yang menolak tuah minta cerai dari Idan apabila permintaannya tidak dipenuhi. 

“Kata Idan,  perangai jandanya cukup memalukan. Masa bertunang lagi dia minta hantaran gila-gila. Kalau tak ikut, tak payah bertunang. Dia minta cincin berlian mata lima sebesar biji sagu mata ikan. Dan hantaran RM15K, kalau tak mampu tak payah kahwin. Masalahnya ketika itu Idan baru sahaja bekerja, mana nak cari duit sebanyak itu. 

“Kerana tak dapat cincin berlian idaman, dia ugut tak payah bertunang. Idan patuh, tetapi selang dua minggu kemudian, setuju pula dan perkahwinan diteruskan. Itu cerita Idan. Dan perangainya terbawa-bawa ketika berkahwin hinggalah membawa pada perceraiannya. 

“Masalahnya ketika kami bertunang pun dia ugut Idan. Hinggalah saya berkahwin sekarang hinggakan saya merasakan hidup saya sekarang seakan bermadu dengan bekas isteri Idan. Sebab dia sering ganggu hidup kami, tujuannya supaya rumahtangga kami tidak aman.    

“Pelik bukan? Mana ada isteri bermadu dengan janda suaminya, tetapi inilah yang saya lalui. Saya bukan sahaja diganggu masa bertunang malah dah beranak sekarang pun dia tetap tak senang hati dengan hidup saya. 

“Saya tak tahu apa tujuan janda Idan ganggu hidup saya, tetapi yang jelas kadang kala Idan sering marah-marah bila balik rumah. Bila di tanya katanya jandanya minta tambah nafkah. Minta belikan telefon baru anak sebab yang ada dah rosak dan minta jenis yang terbaru. Mana nak cekau duit. Dia memang ganggu mental dan ekonomi kami. 

“Saya banyak mengikuti kisah dalam DCCK yang mendakwa bekas isteri sering ditindas dan tak dapat nafkah dari bekas suami, tetapi dalam kes kami, suami saya yang sering sakit jiwa kerana gangguan bekas isterinya, kak Tim. 

“Untuk mengetahui masalah kami, biar saya cerita dari awal. Saya kahwin dengan Idan tiga tahun selepas dia bercerai. Kata Idan, hayat perkahwinan mereka tak lama. Lepas melahirkan anak kedua, Idan terpaksa ceraikan kak Tim sebab dia tak mahu balik rumah kerana mendakwa tidak tahan dengan perangai dan kehidupan bersama Idan. 

“Sebenarnya sejak dapat anak pertama lagi, kak Tim minta cerai. Pernah juga kak Tim balik ke rumah emaknya dan enggan pulang ke rumah. Setelah pujuk memujuk barulah kak Tim balik dengan menetapkan pelbagai syarat. Akhirnya bila anak berusia dua tahun, Idan terpaksa ceraikan kak Tim. Dan Idan nekad tak mahu rujuk semula. Katanya dia sudah bosan dengan perangai kak Tim yang sentiasa berdolak dalik, mengugut dan mencabar kesabarannya. 

“Bukan sahaja selepas bersalin anak kedua, malah ketika bertunang lagi. Hingga membosankan emak Idan. 

“Bila saya bertunang dengan Idan, saya pula jadi sasaran kak Tim. Dia telefon dan ceritakan keburukan perangai Idan, tetapi dalam masa yang sama dia telefon Idan ajak belikan kasut dan baju baru untuk anak anaknya. Dan syaratnya dia mesti ikut sama, sebab tak mahu orang lain buat pilihan untuk pakaian anaknya. 

“Idan terpaksa ikut sebab itulah masa dia dapat berbual mesra dengan anak-anaknya. Kalau tidak memang susah nak jumpa sebab kak Tim tak benarkan, bukan sahaja keluar makan makan, nak bawa anak-anak keluar berjalan-jalan tak boleh. Kalau nak jumpa juga, kak Tim mesti ikut sama. 

“Kalau anak-anak demam, Idan mesti bawa ke klinik dan kak Tim mesti ikut sama. Demikian juga kalau membeli pakaian baru, apa lagi untuk hari raya. Syaratnya kak Tim mesti ikut. Sebab dia tak suka orang lain tentukan pakaian anak-anaknya. 

“Pernah berlaku sehari suntuk Idan keluar beli baju raya anak-anak dan berakhir mereka buka puasa bersama. Habis apa hal saya dan anak-anak di rumah? Dia memang menyakitkan hati saya, cuba control hidup Idan walaupun Idan bukan suaminya lagi. Pelikkan? 

“Sebagai isteri tentu saya naik angin, akhirnya saya dan Idan bertengkar. Sebenarnya itulah yang kak Tim mahu, supaya kami bertengkar dan bergaduh. Untung mertua saya dapat selamatkan perkahwinan kami. Katanya jangan `termakan” dengan ancaman kak Tim. Dia memang tak senang hati kalau hidup kami aman damai. Kalau boleh dia mahukan Idan semula, tetapi malu dengan mertua saya. 

“Walaupun saya sudah ada seorang anak, tetapi usaha kak Tim ganggu hidup kami tak pernah padam. Dia sentiasa tak benarkan anak-anak bercakap dengan Idan melalui telefon. Kalau rindu, bawa anak-anak keluar dia benarkan, tetapi syaratnya dia mesti ikut sama. Dan dia tahu tentu saya tak suka. Inilah peluangnya berbaik-baik semula dengan Idan. 

“Idan tahu tujuan kak Tim. Dia tak beri nafkah, apa lagi, gempar satu bangunan pejabat kak Tim bawa cerita Idan ayah tak bertanggungjawab tak beri nafkah anak-anak. Walaupun ada yang tak percaya, tetapi bila dengar gaya kak Tim bercakap `hakim’ pun boleh percaya bulat-bulat, siap dengan memek muka dan air mata sekali. 

“Awalnya memang saya tak tahu, tetapi ada kawan Idan yang saya kenal bercerita, pasti saya beritahu Idan. Tetapi Idan buat `pekak’, lantak dialah kata Idan. Malangnya dua bulan kemudian Idan di panggil untuk runding cara oleh mahkamah Syariah. Tuduhan kak Tim, sejak kahwin baru Idan lupa nak bagi nafkah anak-anak. Apa lagi mengamuk sakanlah Idan dituduh sedemikian buruk. Sudah pasti saya jadi mangsa amukan Idan kerana terlalu sakit hati dengan kak Tim berbohong sedemikian rupa. 

“Kata Idan, sejak bercerai dia memang beri nafkah anak-anak. Cuma setahun lepas dia tak beri nafkah sebab dia tidak dibenarkan berjumpa dengan anak-anak oleh kak Tim. 

“Ketika kak Tim ditanya, dia jawab anak-anaknya bukan barang jualan, bagi duit boleh beli kasih sayang anak-anak. Bagaimana dengan dia sebagai penjaga tidak dapat duit jaga anak-anak. Dia pun mahu duit sebagai upah. Terlopong mulut pegawai penasihat keluarga ketika mendengar jawapan kak Tim. Idan lagi bertambah meradang dengan jawapan kak Tim yang menyakitkan hati. 

“Walau apa pun nasihat diberikan, kak Tim tetap tegas tidak benarkan anaknya jumpa dengan Idan. Dia tetap pertahankan haknya sebagai ibu demi menjaga keselamatan anaknya. Tetapi depan pegawai mahkamah dia berjanji akan benarkan Idan jumpa anak-anak. 

“Sebenarnya apa yang dilakukannya semata-mata mahu mengganggu hidup dan mental Idan, supaya bila balik rumah nanti, Idan akan terus mengamuk. Dan lama kelamaan membuat kehidupan kami suami isteri tidak tenteram dan tidak aman. Ini yang kak Tim mahu. Katanya kalau dia tak bahagia, orang lain pun tak boleh nak hidup senang dengan duda dia. Sebenarnya kak Tim sakit hati bila saya kahwin dengan Idan. 

“Mertua saya nasihatkan supaya bersabar, katanya bukan saya saja yang jadi mangsa kak Tim, malah dulu beliau juga pernah merasa kejahatan perbuatan kak Tim. Dia cuba melaga-lagakan Idan dengan ibunya. Pelbagai fitnah dia tabur sebab dia cemburu kerana Idan tetap sayangkan ibunya walaupun telah berkahwin dengan kak Tim. Dia mahu setelah berkahwin, Idan cuma layan dia seorang sahaja, mertua tidak boleh masuk campur. 

“Perbuatan kak Tim memang menyakitkan hati, bukan sahaja Idan dimalukan satu bangunan tempat mereka sama bekerja, malah saya juga difitnah melalui kawan-kawan sepejabat saya. Saya tak tahu macam mana dia tahu tempat kerja saya dan boleh kenal dengan dua orang pekerja wanita yang bekerja satu pejabat dan memang kenal saya. 

“Pelbagai fitnah dia hamburkan, nasib baik kawan saya kurang meminati cerita beliau, akhirnya cerita beliau mati tak sempat hidup lama. Kerana tidak ada orang yang menyokongnya dan mengapi-apikan ceritanya.   

“Benar seperti kata mertua. Kak Tim tidak mahu terima kenyataan bahawa dia sudah bercerai. Sebab itu dia sorong tarik anak-anak untuk memikat Idan kembali. Hanya melalui anak-anak hasratnya untuk berkahwin semula dengan Idan akan menjadi kenyataan satu hari nanti.

“Kak Tim tidak dapat terima kenyataan dia sudah bercerai. Istilah lebih tepat kak Tim dah gila talak. Kalau dulu dia bencikan bekas suaminya Idan. Sekarang dia sakit hati bila lihat Idan hidup gembira bersama saya, dia tidak dapat terima kenyataan dia sudah bercerai. 

Demikian cerita Shela yang hidupnya seolah-olah bermadu dengan janda suaminya. Inilah yang dikatakan oleh tua-tua “yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran’’ hasratnya ingin mengejar kebahagiaan dan kemewahan hidup akhirnya diri sendiri yang rugi, hendakkan hidup lebih senang tetapi derita yang datang.