GERAKAN Tanah Air (GTA) diyakini mampu memulihkan negara dan memajukan orang Melayu seperti yang dilakukan UMNO dahulu.
Perkara itu ditegaskan Pengerusi Penaja GTA, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam ciapan di Twitter, hari ini.
Sehubungan itu, Dr Mahathir berkata, GTA akan kembali kepada perjuangan asal UMNO.
Atas dasar tersebut, bekas Perdana Menteri itu memaklumkan GTA telah ditubuhkan untuk melindungi dan memajukan orang Melayu.
Menurut Dr Mahathir, GTA terdiri daripada orang Melayu yang rata-rata miskin dan bermasalah dengan hanya orang Melayu sahaja faham apa yang dihadapi orang Melayu.
“Dahulu orang Melayu dilindungi oleh kerajaan-kerajaan yang didominasi orang Melayu iaitu UMNO.
“Tetapi UMNO di bawah Najib (Datuk Seri Najib Tun Razak) sudah ubah perjuangan UMNO daripada melindungi dan memajukan orang Melayu kepada memperkayakan diri pemimpin UMNO,” katanya dalam ciapan tersebut.
Baca artikel berkaitan: Orang nak kata saya jilat ludah semula tak beri kesan – Dr Mahathir
Mengulas lanjut, Dr Mahathir memaklumkan tumpuan GTA ketika ini bukan untuk mendapatkan tempat bagi diri sendiri.
Sebaliknya, gabungan itu mahu memulihkan politik, ekonomi dan kewangan negara.
Jelas beliau, GTA akan mengatasi kemiskinan yang melemahkan ekonomi Melayu sehingga terpaksa menjual tanah air mereka.
“GTA menggunakan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) ini kerana kerajaan tidak meluluskan pendaftaran GTA.
“Pejuang juga seperti GTA adalah gerakan rakyat Melayu yang prihatin masalah orang Melayu yang tidak dipedulikan UMNO.
“Oleh itu, undilah Pejuang yang mewakili GTA untuk memelihara masa depan orang Melayu dan menentukan mereka dapat bahagian mereka dalam negara berbilang kaum ini,” jelas beliau.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

