SEORANG wanita yang dilaporkan putus kaki kiri selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Proton X70 dinaikinya terbabas lalu merempuh pembahagi jalan di Kilometer 341.5 Lebuhraya Pantai Timur Dua (LPT2), semalam disahkan meninggal dunia.
Pemangku Ketua Polis Daerah Dungun, Deputi Superintendan Jumaidy Bah Chong Weh memaklumkan, mangsa yang berusia 57 tahun meninggal dunia di Hospital Dungun.
Menurut beliau, wanita itu menghembuskan nafas terakhir pada pukul 7.15 ketika menerima rawatan kecemasan.
Jumaidy memberitahu, kemalangan itu berlaku kira-kira pukul 5.15 petang ketika Proton X70 dinaiki lima orang itu dalam perjalanan dari Kuala Terengganu menghala ke Kuantan.
“Kesemua mangsa dipercayai baru selesai menghadiri sebuah majlis perkahwinan di Kuala Berang.
“Apabila tiba di lokasi kejadian, pemandu dipercayai telah terlelap semasa memandu menyebabkan kenderaan hilang kawalan ketika melalui kawasan selekoh sebelum melanggar penghadang besi jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Jumaidy memberitahu, kenderaan tersebut telah berpusing beberapa kali akibat rempuhan berkenaan sebelum tersangkut pada pembahagi jalan.
Katanya, empat lagi mangsa termasuk pemandu Proton X70 itu mengalami cedera ringan.
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Polis Daerah Dungun menasihatkan semua pemandu agar mendapatkan rehat yang mencukupi sebelum memandu, mematuhi had laju yang ditetapkan serta memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik dan selamat,” jelas beliau.
Terdahulu, UtusanTV melaporkan seorang wanita putus kaki sebelah kiri setelah kereta jenis Proton X70 dinaikinya terbabas lalu merempuh pembahagi jalan berhampiran Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Paka, petang semalam.
Mangsa berusia 57 tahun putus kaki kiri dari paras lutut ke bawah.

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

