KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) diminta menambah bilangan petugas kesihatan terutama doktor di Hospital Segamat ekoran keperluan yang semakin mendesak.
EXCO Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Ling Tian Soon memaklumkan, Hospital Segamat kini hanya mempunyai seramai 120 orang doktor termasuk pakar dan pegawai perubatan.
Menurut Tian Soon, bilangan petugas kesihatan itu bagi mengendalikan pelbagai perkhidmatan dan jabatan yang sebahagiannya beroperasi 24 jam sehari.
Berdasarkan keperluan semasa, kata beliau, Hospital Segamat sepatutnya mempunyai 169 orang doktor.
“Ini bermakna hospital ini berdepan kekurangan seramai 49 orang doktor, khususnya pegawai perubatan sekali gus memberi tekanan kepada sistem perkhidmatan sedia ada.
“Walaupun berdepan cabaran ini, petugas kesihatan terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
“Namun, kekurangan tenaga kerja menyebabkan tempoh menunggu menjadi lebih lama dan beberapa janji temu terpaksa dijadualkan semula,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke Hospital Segamat selepas menerima banyak maklum balas daripada masyarakat mengenai kekurangan petugas kesihatan di hospital tersebut.
Mengulas lanjut, Tian Soon berkata, pihaknya telah menghubungi kepimpinan KKM bagi memohon bantuan penempatan tambahan petugas kesihatan ke Hospital Segamat.
Pada masa sama, katanya, perbincangan turut diadakan bersama Pengarah Kesihatan Negeri Johor untuk mencari penyelesaian jangka pendek.
“Ia bagi membantu mengurangkan beban yang sedang ditanggung oleh hospital ini,” jelas beliau.
Sebelum ini, Jabatan Kesihatan Negeri Johor menafikan dakwaan yang tular di media sosial kononnya Hospital Segamat bakal ditutup pada 1 Julai ini.
Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Dr Mohtar Pungut@Ahmad menegaskan, Hospital Segamat masih beroperasi seperti biasa.
Menurut Mohtar, pihaknya turut mengambil maklum surat penangguhan bagi rujukan kes-kes obstetrik dan ginekologi (O&G) dari daerah Rompin dan Gemas bertarikh 3 Jun yang turut tular.

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

