Penganalisis Ekonomi Putra Business School (PBS), Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff

RAKYAT ketika ini dilihat cukup matang untuk memilih kerajaan yang terbaik bagi melaksanakan Belanjawan 2023 yang telah dibentangkan 7 November lalu.

Penganalisis Ekonomi Putra Business School (PBS), Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, rakyat seharusnya perlu diberi penerangan yang jelas berkenaan belanjawan yang terbesar dalam sejarah negara itu.

Kata Ahmed Razman, antara aspek yang perlu diterangkan kepada rakyat adalah strategi kerajaan untuk memperoleh hasil bagi menampung pelaksanaan belanjawan tersebut.

“Sekiranya rakyat memahami dengan jelas strategi kerajaan untuk memperoleh hasil untuk melaksanakan belanjawan tersebut, mereka akan dapat melakukan pemilihan tepat dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“Sudah tentu kita mengharapkan belanjawan itu dapat dibahaskan sebelum pilihan raya tetapi sekurang-kurangnya pembentangan pada 7 November lalu telah memberi gambaran komitmen kerajaan untuk melaksanakannya tahun hadapan,” katanya kepada UtusanTV hari ini.

Baca lagi: Status DUN diketahui selepas Belanjawan Pahang 2023 diluluskan – MB

Mengulas lanjut, Ahmed Razman berkata, Belanjawan 2023 yang memperuntukkan sebanyak RM372.3 bilion itu boleh ditambah baik daripada beberapa aspek.

Beliau juga melihat belanjawan itu sebagai lebih terperinci dan meliputi pelbagai golongan jika dibandingkan dengan belanjawan terdahulu.

Katanya, inisiatif belanjawan itu wajar diteruskan tidak kira parti mana pun yang berkuasa selepas PRU-15 nanti.

“Kita harap perbahasan itu nanti akan disokong semua tanpa ada kelewatan lagi kerana selepas PRU-15, kita ada masa kurang sebulan untuk ke tahun hadapan.

“Kita harap tidak ada banyak percaturan politik yang merencatkan pelaksanaan bajet,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan yang kerajaan akan meneruskan segala inisatif yang terkandung dalam Belanjawan 2023 sekiranya diberi mandat pada PRU-15.

Jelas Perdana Menteri, antara inisiatif yang dirangka dalam belanjawan itu adalah menaikkan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) kepada RM150 berbanding RM100 sebelum ini dan akan diberikan kepada semua murid tanpa mengira had pendapatan ibu bapa mereka.

Selain itu, ibu daripada isi rumah penerima Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) di bawah inisiatif Cahaya Mata Keluarga Malaysia, yang melahirkan anak pada tahun 2023 akan diberikan bantuan tunai one-off sebanyak RM500.

Bagi golongan wanita, sejumlah RM235 juta disediakan sebagai dana pembiayaan tersedia khas di bawah Skim Semarak-Nita BSN, Tekunita TEKUN, DanaNITA MARA, dan Biz Lady Bank Rakyat agar lebih ramai wanita menceburi bidang keusahawanan.

Tidak ketinggalan, Ketua Isi Rumah (KIR) yang berpendapatan di bawah RM2,500 yang memiliki lima anak atau lebih, akan menerima bantuan sebanyak RM2,500.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram