RATUSAN lagi pekerja Utusan Melayu (Malaysia) Berhad (UMMB) yang diberhentikan termasuk yang tidak terlibat dengan Skim Pemisahan Sukarela (VSS) perlu mendapat pembelaan yang sama.
Bekas Ketua Pengarang Utusan Melayu, Tan Sri Johan Jaaffar berkata, kesemua mereka telah menanggung penderitaan yang luar biasa akibat diberhentikan tanpa pampasan yang sewajarnya.
Jelas beliau, sebahagian besar daripada mereka yang hilang mata pencarian hidup dalam keadaan yang sangat mencabar beberapa tahun kebelakangan ini.
“Saya berdukacita bahawa syarikat yang bermula pada tahun 1939 dan yang bertanggungjawab menerbitkan akhbar yang dianggap suara keramat orang Melayu telah terhenti operasinya pada tahun 2019.
“Akhbar dan majalah terbitan UMMB telah menjadi sebahagian daripada sejarah bangsa Melayu dan negara Malaysia.
“Selama 80 tahun, akhbar dan majalah terbitan UMMB telah menjadi perakam sejarah negara bangsa yang bangga ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Baca lagi: Penerima VSS Utusan bukan pemiutang, berhak dapat bayaran penyelesaian – Hakim
Mengulas lanjut, Johan berkata,sumbangan para wartawan dan petugas UMMB harus sentiasa dihargai.
Jelas beliau, apa yang berlaku pada petugas UMMB selepas penutupan syarikat adalah sejarah getir dunia kewartawanan negara, khususnya kewartawanan Melayu.
Johan yang juga Ahli Lembaga Pengarah UMMB dari 1992 hingga 1998 berkata, beliau menggesa pembayaran segera dibuat kepada 160 orang bekas kakitangan syarikat UMMB yang terlibat VSS ekoran keputusan Mahkamah Tinggi pada 25 Oktober baru lalu.
Katanya, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Nadzarin Wok Nordin memutuskan bahawa penerima VSS adalah benefisiari harta-harta amanah dan mereka bukan pemiutang UMMB.
“Oleh yang demikian mereka tidak terlibat dalam proses likuidasi dan berhak menerima manfaat daripada harta-harta yang dilabelkan sebagai amanah.
“Dalam penghakiman beliau, Nadzarin juga mengisytiharkan 29 hartanah milik UMMB dan anak-anak syarikat UMMB termasuk Utusan Publications dan Distributor Sdn Bhd, U-Print Sdn Bhd, Utusan Land Sdn Bhd, Juasa Holdings Sdn Bhd dan Madiamony Sdn Bhd adalah ‘harta amanah’,” katanya.
Tegas beliau, pihak pelikuidasi yang diberikan amanah perlu memastikan pekerja yang terlibat dalam VSS mendapat pampasan mereka secepat mungkin.
Katanya, pekerja UMMB yang terlibat sebelum ini telah menuntut pemilik baharu serta majikan menunaikan janji untuk melangsaikan bayaran baki VSS menggunakan dana hasil penjualan hartanah milik UMMB.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

