Suasana di Pusat Penamaan Calon Pilhan Raya Umum ke-15 P.107 Parlimen Sungai Buloh yang akan bermula esok di Dewan Kenanga, Pejabat Daerah dan Tanah Petaling, Sungai Buloh, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

SEBANYAK 4,326 borang pencalonan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) telah dijual setakat hari ini di seluruh negara.

Menurut statistik dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), daripada jumlah itu 3,036 adalah borang penamaan calon Parlimen manakala 1,290 lagi bagi DUN.

Di peringkat Parlimen, Sabah mencatatkan penjualan borang tertinggi iaitu 716, diikuti Perak (326), Selangor (266), Kelantan (262), Johor (253), Pulau Pinang (219), Kuala Lumpur/Putrajaya (163), Kedah (150), Pahang (144), Terengganu (118), Sarawak (100) dan Melaka (73).

Perlis yang hanya mempunyai tiga kawasan Parlimen menarik perhatian apabila mencatatkan jualan 52 borang pencalonan Parlimen, jauh lebih tinggi berbanding Negeri Sembilan yang mempunyai lapan kerusi Parlimen namun hanya 24 borang terjual setakat ini.

Baca artikel berkaitan: Penamaan calon PRU-15: PDRM gerakkan 31,183 petugas, unit dron seluruh negara

Selain itu, ibu pejabat SPR, di Putrajaya, turut mencatatkan jualan borang pencalonan Parlimen sebanyak 170.

Di peringkat DUN, jualan borang terbanyak adalah di Perak iaitu sebanyak 654, Pahang (422) dan Perlis 153 manakala jualan borang calon DUN di ibu pejabat SPR pula adalah sebanyak 61.

SPR menetapkan esok sebagai hari penamaan calon PRU15, 19 Nov ini sebagai tarikh pengundian manakala pengundian awal pada 15 Nov.

PRU15 melibatkan 222 kerusi Parlimen dan 59 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perak, Pahang (42) dan Perlis (15).

Turut diadakan serentak adalah Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Bugaya, Sabah.

— BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram