AHLI Parlimen Putrajaya dari Perikatan Nasional (PN), Datuk Dr Radzi Jidin mengingatkan penyandang kerusi itu dari UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor agar berhenti memfitnah beliau dan secara terbuka menerima kekalahannya pada pilihan raya umum yang lepas.
Kedua-dua pemimpin itu saling berbalas ‘serangan’ di media sosial selepas Tengku Adnan atau lebih dikenali sebagai Ku Nan mendakwa pegawai kepada MP Putrajaya meminta penduduk Parlimen itu meminta bantuan di Pusat Khidmat Masyarakat UMNO Putrajaya.
Naib Presiden Bersatu itu bagaimanapun menafikan dakwaan Tengku Adnan dengan menegaskan pusat khidmatnya atau Putrajaya Care sentiasa mengusahakan yang terbaik untuk memberikan khidmat kepada penduduk parlimen berkenaan.
“Hari ini saya dimaklumkan bekas Ahli Parlimen Putrajaya Tengku Adnan Tengku Mansor, memuat naik hantaran di Facebook beliau menyatakan bahawa “Apabila ada orang nak bertemu dengan wakil rakyat Putrajaya, dia punya alasan dari pegawainya suruh ke Pusat Khidmat Masyarakat UMNO Putrajaya…..”.
“Allahu, Ku Nan. Cukup-cukuplah tu. Ingatlah, fitnah ni mudah di mulut tapi tidak mudah untuk dijawab di hari pengakhiran! Terimalah kekalahan dengan hati terbuka.
“Kalau ingin masih menongkat langit untuk bertanding dalam PRU16, bertandinglah secara sihat. Tidak perlulah memfitnah kononnya bila ada yang nak jumpa saya, Pusat Khidmat Putrajaya Care minta ke Pejabat UMNO!,” katanya di Facebook.
Ku Nan dalam hantarannya di Facebook menulis:” Saya pun tak tahu kerana sehingga hari ini era pun tak nampak, baharu pun tak nampak tapi yang kita tahu macam-macam alasan diberi. Apabila ada orang nak bertemu dengan wakil rakyat Putrajaya, dia punya alasan dari pegawainya suruh ke Pusat Khidmat Masyarakat UMNO Putrajaya di Presint 15 … itulah yang berlaku sekarang ini.
Mengulas lanjut Dr Radzi berkata, walaupun pihaknya tidak menerima hatta sepuluh sen peruntukan daripada kerajaan PH-DAP-BN, Putrajaya Care sentiasa usahakan yang terbaik.
“Sokongan jitu dan sumbangan ikhlas sahabat-sahabat seperjuangan serta dokongan kakitangan awam di pelbagai agensi telah banyak membantu dan memudahkan kami memberikan khidmat kepada warga Putrajaya.
“Kepada DS Tengku Adnan pula, cukup-cukuplah memfitnah. Carilah damai di hati!,” tambahnya.
Pada PRU-15 November lalu, Tengku Adnan bekas menteri wilayah persekutuan dan MP Putrajaya selama empat penggal tewas kepada Radzi dengan majoriti 2,310 undi.
Menurut Radzi, beliau amat menghormati Tengku Adnan kerana statusnya sebagai MP Putrajaya empat penggal dan sebagai sebagai veteran dalam politik.
“Sebab itu, sebelum PRU15, bila tular video beliau bertanya kepada media, “Siapa Radzi Jidin???”, yang memberi gambaran seolah-olah saya bukanlah lawan setara beliau, saya sekadar tersenyum tanpa sebarang ulasan.
“Akhirnya, bila keluar keputusan PRU15, saya menang di Putrajaya dengan majoriti 2,310 undi. Sekali lagi saya menerima keputusan tersebut dengan penuh rendah diri dan mengambil pendekatan untuk tidak menyentuh apa-apa tentang DS Tengku Adnan,” katanya.
Sementara itu, Radzi mengingatkan Timbalan Ketua Bahagian UMNO Putrajaya, Datuk Ahmad Faisal Abdul Karim agar menyegerakan bayaran RM50,000 kepadanya seperti yang diperintahkan oleh mahkamah.
“Sepertimana saya sebutkan sebelum ini, setiap sen daripada RM50,000 tersebut akan saya salurkan kepada Putrajaya Care,” jelasnya.
Ini susulan keputusan mahkamah baru-baru ini mengekalkan Radzi sebagai Ahli Parlimen Putrajaya dengan menolak rayuan difailkan Ahmad Faisal selain memerintahkan Ahmad Faisal membayar kos RM30,000.
Ahmad Faisal sebelum itu memfailkan petisyen untuk membatalkan keputusan pilihan raya P125 Putrajaya atas alasan berlakunya sogokan kepada pengundi Putrajaya. Mahkamah bagaimanapun menolak petisyen tersebut dan memerintahkan Ahmad Faisal membayar kos RM20,000 kepada Radzi.

