SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh pengundian bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16 adalah pada hari Sabtu, 11 Julai depan.
Pada masa sama, PRN Negeri Sembilan Ke-16 pula akan dilaksanakan pada hari Sabtu, 1 Ogos depan.
Perkara itu dimaklumkan Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas bagi membincangkan perkara tersebut di Menara SPR, hari ini.
Menurut Ramlan, hari penamaan calon bagi PRN Johor pula ditetapkan pada hari Sabtu, 27 Jun ini manakala hari mengundi awal pada 7 Julai.
“Bagi PRN Negeri Sembilan ke-16, hari penamaan calon adalah pada hari Sabtu 18 Julai 2026 dan hari mengundi awal pada hari Selasa 28 Julai 2026,” katanya dalam sidang media itu hari ini.
Sementara itu, Ramlan memaklumkan tempoh berkempen bagi kedua-dua PRN itu ditetapkan selama 14 hari dengan ia berakhir pada pukul 11.59 malam, 10 Julai untuk PRN Johor.
Beliau berkata, tempoh berkempen untuk PRN Negeri Sembilan pula bermula 18 Julai dan berakhir pada pukul 11.59 malam, 31 Julai 2026.
Jelas beliau, seramai 42,971 orang petugas akan dilantik bagi mengendalikan proses PRN Johor.
“Sebanyak 1,076 buah pusat mengundi biasa yang mengandungi 4,889 tempat mengundi atau saluran dan 64 pusat mengundi awal bagi pengundian yang mengandungi 91 tempat mengundi akan digunakan.
“Keseluruhan jumlah pusat mengundi adalah sebanyak 1,140 buah pusat mengundi dengan 4,980 tempat mengundi.
“PRN Johor dianggarkan memerlukan peruntukan sebanyak RM86.8 juta,” katanya.
Bagi PRN Negeri Sembilan pula, Ramlan berkata, seramai 15,344 orang petugas akan dilantik bagi mengendalikan proses tersebut.
“Keseluruhan jumlah pusat mengundi adalah sebanyak 439 buah dengan 1,738 tempat mengundi akan digunakan.
“PRN Negeri Sembilan memerlukan peruntukan sebanyak RM80.6 juta,” jelasnya.
Pada 1 Jun lalu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor selepas mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.
DUN Johor mempunyai 56 kerusi dan PRN kali ini bakal menjadi pilihan raya ke-16 bagi negeri itu.
Sementara itu, DUN Negeri Sembilan dibubarkan pada 5 Jun selepas Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun mengumumkan pembubaran sehari sebelum itu.
Pembubaran DUN Negeri Sembilan yang mempunyai 36 kerusi dibuat selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

