APA yang saya paparkan di ruangan ini sebenarnya bukan kisah baru dan bukan saya seorang yang merasanya, mungkin ramai lagi. Cuma kita tidak bercakap sesama sendiri, kecuali jiran tetangga, saudara mara dan kenalan yang mungkin bercerita di belakang kita, kerana tidak mahu kita terasa hati.

“Walaupun peristiwa ini sudah berlaku lebih 15 tahun lalu, tetapi pedihnya masih terasa. Mungkin tidak pada ibu lain, tetapi bagi saya ia telah meretakkan dan melukakan hati dan hingga kini lukanya masih belum sembuh. Kekadang tersalah cakap pun boleh membuat darah saya melonjak naik, hingga membimbangkan anak-anak kerana penyakit darah tinggi saya.’’ Itu cerita Puan Sal ketika kami berbual secara santai dan terlontar luahan hatinya yang terpendam selama ini.

“Ceritanya begini, saya berpendapat perkahwinan yang tidak disukai atau tidak mendapat restu ibu bapa, biasanya tidak akan kekal lama atau tidak membawa kebahagiaan. Sebaliknya boleh merugikan dan merosakkan masa depan anak itu sendiri.

“Sebenarnya malu hendak bercerita dalam keluarga sendiri, tetapi tujuan saya nak menasihatkan anak muda zaman sekarang, kalau hendak kahwin, berbincang dan berundinglah dengan keluarga terlebih dahulu.

“Jika ibu bapa tak suka tanya sebabnya dan tunjukkan bukti bahawa pilihan kamu yang terbaik dan sesuai dengan jiwa. Mungkin makan masa, tetapi kalau kena gayanya dan pujuk rayu kepada ibu atau ayah, mungkin mereka boleh berubah hati dan redha dengan pilihan.

“Namun janganlah bertindak kasar dan keras jika ibu bapa tak suka dengan pilihan. Dan kamu ikut hasutan pasangan supaya kahwin lari dan jangan beritahu ibu dan ayah. Itu sudah tentu boleh merosakkan hati ibu bapa, itu memang tak baik.’’ Kata Puan Sal lagi.  

“Biar saya cerita dari awal, saya ada 4 orang anak.  Oleh kerana yang sulung perempuan, saya nasihatkan dia supaya habiskan belajar, dapatkan ijazah, kalau boleh bekerja dulu dan kemudian baru berkahwin. Alhamdulillah anak saya Liz ikut. Ya Allah senangnya hati. Demi menjaga keselamatannya, saya suruh dia tumpang sementara di rumah adik sepupu saya yang kebetulan duduk di Kuala Lumpur. Di mana Liz ditawarkan kerja.

“Kami suami isteri turut sama menghantar Liz tetapi kami menginap di hotel kerana kepadatan rumah adik sepupu saya Imah. Kami datang jenguk Liz di Kuala Lumpur sebulan atau dua bulan sekali sebab tak puas bercakap dalam telefon.  

“Mungkin pembaca kata saya terlalu kawal anak, bukan! Sebenarnya saya tak mahu dia tersilap langkah dan akan menyalahkan saya kerana tidak menasihatinya. Saya percaya rukun Iman khususnya Qada’ dan Qadar dari Allah, tetapi perasaan dan hati ibu yang terluka sukar diubat dan kita sedar anak kita telah tersilap langkah.  

“Sejak belajar saya nasihatkan Liz kalau ada masalah beritahu emak, hinggakan nak kahwin pun saya suruh dia bincang dengan kami. Saya beritahu dia bebas memilih jodoh, tetapi biarlah kami tahu latar belakang calon suaminya. Kami tak sekat, kami tak larang, tetapi kami ingin tahu siapa pilihanya. Itu pesan kami, bukannya susah, malah ramai ibu bapa lain pun menasihatkan anak mereka demikian.

“Tetapi bila Liz beritahu dia sudah pindah duduk menyewa dengan kawan kawannya, hati kami tersentap. Dia tidak beritahu kami lebih dahulu. Kenapa Liz pindah? Kata sepupu kami dia tak halang Liz pindah, mungkin Liz tak selesa duduk rumahnya kerana ramai anak. Namun perbuatan Liz memang mengejutkan kami.

“Tetapi kerana anak, saya diam. Kami suami isteri pergi tengok rumah sewanya sebab dia anak perempuan kami bimbang keselamatannya. Namun hati kami tenteram bila kami lihat rumah sewanya memang ada tiga orang perempuan. Kami puas hati dan izinkan dia tinggal di situ. Tetapi kami tanya dia mengapa tak beritahu kami dulu?

“Kami tetap datang melawatnya sebulan atau dua bulan sekali, walaupun kami datang nun dari utara tanah air. Biar penat asalkan kami puas hati dan perasaan kami tenteram. Lama jugak Liz tinggal menyewa dengan rakan perempuanya, lebih tiga tahun rasanya.

“Nak jadikan cerita satu hari kami datang ke rumah sewa Liz tapi dia belum pulang, kata kawannya. Biasanya saya bawa buah tangan dan lauk pauk. Kami ajak mereka makan bersama seperti biasa. Tetapi mereka tolak, mereka tergesa-gesa keluar konon nak makan dengan kawan-kawan. Semua keluar bersama.

“Saya rasa ada tak kena dengan perubahan kawan kawan Liz ini. Biasanya bila kami datang mereka makan makanan yang kami bawa. Mereka suka makan kari. Tetapi hari itu, mereka tak banyak bercakap. Bila saya ke dapur saya lihat nasi dan lauk sudah di masak. Masih panas lagi, tetapi mengapa mereka nak makan dengan kawan di luar. Pelik jugak!

“Bila Liz balik kami ajak makan sama, tetapi Liz beri alasan dia sudah kenyang kerana ada jamuan di pejabat. Habis makan Liz beritahu kami tak perlu datang KL lagi sebab dia dapat  tambang tiket keretapi murah, dia janji akan balik sebulan sekali. Katanya kawan kerja KTM yang bagi. Kami diam kerana percaya cerita Liz. Lagi pun kami tak izinkan dia memandu sendirian dan merbahaya.

“Demikianlah hari berlalu. Sejak itu kami tak datang KL lagi, Liz yang balik. Kadang kadang naik bas katanya, bila tak dapat tiket keretapi. Kami diam dan percaya cerita Liz.

“Tetapi sepandai-pandai tupai melompak, akhirnya jatuh ke tanah juga. Bila jiran tanya Liz tak sampai rumah lagi ke? Tadi mereka nampak Liz dengan seorang lelaki banyak beli barang di pekan. Terkejut kami. Liz tak beritahu dia nak balik, dengan siapa, naik apa? Tak mungkin jiran kami berbohong pulak.

“Bila Liz masuk saja ke rumah, saya terus tanya. ‘Balik dengan siapa? Naik apa? Keretapi, bas atau kereta. Liz terkejut. Berubah mukanya. Dia terkedu, kelu dan tak dapat berdalih. Dia terus pegang tangan saya sambil menangis! Pelik sungguh! Apa hal? Saya hairan sebab saya hanya bertanya bukan marah!

“Liz terus menangis peluk saya dan minta ampun. Minta ampun mengapa? Apa hal ni?  Akhirnya Liz mengaku dia sudah nikah di sempadan. Terkejut kami, nasib kami tak ada sakit jantung! Kalau tidak pasti kami tergolek ke lantai. Kami terdiam seketika. Terkejut.

“Dalam sedu tangisan saya tanya Liz soalan tak berhenti. ‘Kenapa nikah sempadan?  Kan kami masih hidup! Kenapa tak bawa lelaki tu jumpa kami dulu? Mak tak tegah kau kahwin dengan siapa pun asal bukan suami orang? Siapa wali kamu? Bila nikah? Lelaki tu, bujang atau suami orang? Pendek kata semua soalan itu senang dijawab, tetapi Liz tak boleh jawab. Dia kelu. Tak bersuara, dia hanya menangis dan terus menangis.

“Darah kami mendidih kerana dia tidak jawab soalan. Dia hanya menangis. Kerana terlalu marah, ayahnya bangun dari kerusi terus menampar Lis beberapa kali suruh dia jawab soalan kami. Jangan menangis kami benci!

“Akhirnya terbongkarlah rahsia, Liz kahwin suami orang, dia ajak nikah kat Siam. Kerana lelaki itu tahu kalau dia masuk meminang tentu pinangannya di tolak. Pertama dia suami orang. Kedua, Liz terpaksa bermadu. Ketiga lelaki itu ada 4 orang anak dan dia jauh lebih tua kira kira 15 tahun tua daripada Liz.

“Dia juga sedar dia cuma pekerja bawahan Liz. Bukan pegawai dan bukan lulusan U pun. Dulu mereka sama tempat kerja, tetapi lepas nikah lelaki ini minta tukar tempat lain tetapi masih bawah pentadbiran yang sama.

“Sakit hati saya bertambah tambah bila saya tahu lelaki ini suami orang. Sebab saya sering nasihatkan Liz jangan kahwin suami orang. Saya tak kisah kalau lelaki pilihannya tak ada ijazah, tak berpangkat, tak bergaji besar dan tak ada kereta besar, yang penting lelaki itu mesti bujang, kalau dah tua sikit pun tak apa.

“Malunya saya pada jiran dan saudara mara tak boleh nak cakap. Liz memang conteng arang ke muka saya. Saya sedih, anak saya memang pandai belajar sampai Universiti, tetapi dia tak cerdik dalam mengurus hidup dan masa depannya.

“Mengapa Liz yang bijak pandai dan pegawai lagi, boleh ikut cakap orang bawahannya.  Kerana terlalu marah saya ingatkan Liz saya tak mahu dengar madunya datang menyerang saya di rumah. Saya tak izinkan suaminya datang ke rumah saya dan saya tak mahu dengar Liz masuk hospital kerana dipukul madunya.

“Hingga kini saya tetap tak peduli di mana Liz tinggal di KL. Saya tak pernah dan tak akan datang ke rumahnya kecuali melihat dia terlantar di hospital kalau dia kena pukul. Tetapi kalau dia beranak, itu bukan urusan saya. Pandai dialah jaga diri sendiri.

“Kerana Liz anak kami, saya izinkan dia balik ke rumah dengan anak anaknya. Tetapi bukan dengan suaminya. Saya terpaksa layan anak-anak Liz kerana mereka tak berdosa. Tetapi bila anaknya kata ayahnya baik, belikan dia telefon, beli baju raya, kasut raya dan songkok segalanya, saya naik meluat, tambah mendidih darah ini. Sebab saya tahu semua tu Liz yang beli, kerana suaminya ada ramai anak lain yang dia perlu bagi nafkah.

“Sebab sebelum ini Liz ada berbual dengan adik sepupu saya, dia kecewa kerana hingga kini dia masih menyewa rumah lagi. Gajinya sering tak cukup, terpaksa bantu suaminya kerana anak-anak tirinya perlukan banyak duit kerana mereka sedang belajar.

“Saya senyum dengar cerita itu. Sekarang baru Liz tahu mengapa saya tegah dia kahwin suami orang. Sebab akhirnya hidup dia sendiri susah. Kerana Liz budak baik dan pendiam, bukan kaki bantah atau tegas, sebab itu dia dipermainkan. Terutama suaminya yang memang berkahwin dengan dia dengan satu tujuan boleh membantu dia.

“Kini baru Liz tersedar betapa sukarnya hidup berkongsi suami. Lainlah kalau suaminya berpangkat besar, gaji besar atau mewah. Tetapi dia orang bawahan Liz, sudah tentu ada niat tertentu berkahwin dengan Liz. Dalam susah payah membantu suaminya, Liz tambah kecewa dia sering diserang oleh madunya dalam telefon dan dicop perampas suami orang. Dia sering mengadu dengan sepupu saya, dia sedih dan tidak tahu apa nak buat.

“Tetapi semuanya sudah terlambat, anak Liz sudah dua. Nak jadi janda belum tentu Liz bersedia, dia memang penakut kerana terlalu bergantung dan ikut cakap suaminya.’’ Itu cerita Puan Sal melahirkan kekecewannya kerana anak yang tak makan nasihat sanggup kahwin lari, sekarang hidupnya semakin tertekan bila duit gaji tak pernah berbaki.