PERIKATAN Nasional (PN) berhasrat menawarkan pemberian moratorium pinjaman kewangan kali kedua terutama kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) sekiranya berjaya membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perkara itu juga terkandung di bawah ‘Tunjang 1: Membina Ekonomi Masa Hadapan’ dalam manifesto PN yang dipanggil PN BEST.
Menurut beliau, penawaran moratorium itu bagi merancakkan proses pemulihan ekonomi negara kerana PMKS merupakan pemacu utama pertumbuhan ekonomi.
Muhyiddin yang pernah menjadi Perdana Menteri sewaktu tempoh sukar pandemik memaklumkan, kedudukan ekonomi negara belum pulih kerana kebanyakan syarikat PMKS yang masih tidak pulih.
“Bagi satu tempoh kelegaan (laksana moratorium) supaya mereka (PMKS) mempunyai kecairan untuk meneruskan perniagaan tanpa terpaksa membayar pinjaman yang dibuat dengan institusi kewangan.
“Kita telah buat semasa pandemik, boleh tak kita buat kali kedua? Saya jawab boleh. Sebenarnya ini Majlis Pemulihan Negara (MPN) dah cadangkan tetapi kerajaan di bawah pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak bersetuju atau tak mahu melaksanakan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sesi dialog selepas melancarkan Tawaran PN BEST di Shah Alam, malam tadi.
Baca artikel berkaitan: Tawaran PN BEST: Soal Perlembagaan, kedudukan Islam tiada kompromi – Muhyiddin
Muhyiddin menjawab pertanyaan hadirin berhubung soal pemulihan ekonomi sekiranya PN berjaya membentuk kerajaan.
Sebelum itu, Muhyiddin yang juga calon PN bagi kerusi Parlimen Pagoh merasmikan Tawaran PN Best atau Prihatin, Bersih dan Stabil: Malaysia Gemilang.
Merangkumi 12 tunjang, 30 pendekatan dan 234 tawaran, PN BEST digubal mengambil kira pandangan serta sentimen rakyat dalam perkara-perkara yang dianggap penting dalam kehidupan semasa.
Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, pelaksanaan moratorium itu juga tidak langsung membebankan kerajaan kerana perkara itu ditanggung pihak institusi kewangan.
“Kerajaan tidak keluarkan satu ringgit pun. Kalau Kementerian Kewangan sudah bersetuju, arah pada Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mengarahkan bank melaksanakan moratorium.
“Mereka (institusi perbankan) kena buat. Tidak sentuh wang kerajaan. Ini wang bank. Dalam tempoh berapa bulan selepas kita buka ekonomi, bank buat keuntungan dengan banyak. Kenapa dahulu boleh buat, sekarang tidak boleh?,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

